NAGOYA: Skuad hoki wanita negara bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Bangladesh 3-1 pada aksi kedua Kumpulan A Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 hari ini.
Pada perlawanan itu, Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan padang Kona Akter pada minit ke-25 yang memberikan Bangladesh kelebihan 1-0 pada babak pertama.
Namun, skuad negara tampil lebih bertenaga selepas rehat apabila Nuramirah Shakira Zulkifli menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang pada minit ke-40.
Momentum kebangkitan Malaysia berterusan apabila Zati Alyani Muhammad Zubir meledak gol kedua empat minit kemudian untuk meletakkan pasukan negara di hadapan 2-1.
Nuramirah Shakira kemudian melengkapkan kemenangan menerusi gol peribadi keduanya pada minit ke-59, sekali gus memastikan tiga mata menjadi milik Malaysia.
Kelmarin, Malaysia membuka kempen temasya dengan kemenangan bergaya 5-0 ke atas Kazakhstan.
Skuad negara yang menyasarkan slot separuh akhir dijadual berdepan China pada Rabu ini, diikuti Taiwan dua hari kemudian sebelum menutup saingan peringkat kumpulan menentang Korea Selatan pada 27 Sept.
Sementara itu, Kumpulan B dibarisi India, Indonesia, Singapura, Thailand, Uzbekistan dan tuan rumah Jepun.
Mengikut format pertandingan, dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah penyertaan di Sukan Asia hadir pada edisi 1982 di New Delhi apabila meraih pingat gangsa sebelum menduduki tempat keempat pada edisi 1986 di Seoul, Korea Selatan.
-- BERNAMA