BERLIN: Pasukan hoki ais Rusia kini boleh kembali menyertai kejohanan antarabangsa selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memutuskan demikian pada Jumaat, sekali gus membuka laluan kepada pasukan lelaki negara itu untuk beraksi dalam Kejohanan Dunia di Jerman pada Mei 2027, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Susulan keputusan itu, Rusia juga berpeluang menyertai Kejohanan Dunia wanita di Kanada pada November 2027, selain kejohanan dunia bagi kategori remaja.
Mahkamah itu membenarkan rayuan Persekutuan Hoki Ais Rusia terhadap Persekutuan Hoki Ais Antarabangsa (IIHF) dan membatalkan serta-merta keputusan badan itu untuk mengecualikan pasukan Rusia daripada saingan musim 2026-2027.
Sejak akhir Februari 2022, Rusia dilarang menyertai semua kejohanan antarabangsa dan kejohanan dunia oleh persekutuan berkenaan susulan perang negara itu terhadap Ukraine.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menarik balik penggantungan Jawatankuasa Olimpik Rusia pada Julai, sekali gus membuka laluan kepada pasukan negara itu untuk kembali menyertai arena sukan antarabangsa secara berperingkat.
Namun, IIHF sebelum ini memutuskan untuk meneruskan pengecualian pasukan Rusia bagi musim ini atas faktor keselamatan.
Bagaimanapun, CAS dalam keputusan sebulat suara mendapati bahawa kebimbangan terhadap aspek keselamatan yang dibangkitkan oleh badan induk hoki ais dunia itu tidak disokong oleh bukti yang mencukupi.
-- BERNAMA-dpa