Skip to main content

Dunia

Dua gol Salah bantu Trabzonspor raih kemenangan sulung musim ini

Soccer Football - Super Lig - Kasimpasa v Trabzonspor - Recep Tayyip Erdogan Stadium, Istanbul, Turkey - August 15, 2026 Trabzonspor's Mohamed Salah during the warm up before the match REUTERS/Murad Sezer
Pemain Trabzonspor, Mohamed Salah melakukan sesi pemanasan badan sebelum perlawanan di Stadium Recep Tayyip Erdogan, Istanbul, Turkiye, baru-baru ini. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

ZONGLUDAK, TURKIYE: Mohamed Salah membuka akaun jaringannya dalam Liga Super Turkiye dengan dua gol ketika membantu Trabzonspor menewaskan Istanbul Basaksehir 2-1 untuk meraih kemenangan pertama musim ini pada Ahad.

Salah yang menyertai Trabzonspor secara percuma selepas meninggalkan Liverpool penghujung musim lalu susulan sembilan tahun penuh gemilang di Anfield, turut mempamerkan aksi cemerlang walaupun dua lagi golnya dibatalkan.

Dalam penampilan pertamanya sebagai kesebelasan utama liga selepas hanya diturunkan sebagai pemain gantian pada aksi pembukaan musim, pemain berusia 34 tahun itu meletakkan Trabzonspor di hadapan seawal minit kelapan.

Gol tersebut hadir selepas penjaga gol Basaksehir, Muhammed Sengezer, gagal mengawal bola dengan kemas sebelum Salah pantas menyambar peluang terhidang.

Basaksehir bagaimanapun menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Eldor Shomurodov pada minit ke-19.

Namun, Salah sekali lagi menjadi pemisah apabila mengembalikan kelebihan Trabzonspor tiga minit selepas babak kedua bermula.

Beliau melakukan larian pantas di bahagian kanan sebelum bertukar hantaran dengan Ernest Muci dan melepaskan rembatan tepat ke penjuru gawang untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Salah hampir melengkapkan hatrik pada masa kecederaan, namun jaringan tersebut dibatalkan kerana kesalahan yang berlaku dalam proses gerakan gol.

Tidak lama kemudian, beliau sekali lagi menemui sasaran apabila menjaringkan gol dari jarak jauh ke gawang kosong ketika penjaga gol lawan naik membantu serangan ketika sepakan sudut, tetapi gol itu turut dibatalkan atas kesalahan ofsaid.

Selepas membantu Trabzonspor mencatat kemenangan sulung musim ini, Salah kini mengalihkan tumpuan kepada aksi timbal balik playoff Liga Europa menentang Ferencvaros pada Khamis.

Trabzonspor berdepan tugas sukar selepas tewas 0-1 di laman sendiri dalam perlawanan pertama minggu lalu. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement