Skip to main content

Dunia

IOC tidak siasat Infantino berhubung dakwaan babitkan Trump

[TB]_Donald Trump Gianni Infantino World Cup_REUTERS
Trump dan Infantino ketika hadir pada majlis penyampaian trofi selepas perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Sepanyol dan Argentina di Stadium New York/New Jersey, East Rutherford, New Jersey, Amerika Syarikat, 19 Julai 2026. - Gambar fail/REUTERS
Advertisement

LONDON: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) tidak akan menyiasat dakwaan bahawa Presiden FIFA Gianni Infantino melanggar peraturan Olimpik mengenai prinsip berkecuali dalam politik menerusi hubungannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, lapor PA Media/dpa.

Kumpulan hak asasi manusia FairSquare awal bulan ini mengumumkan bahawa pihaknya mengemukakan aduan kepada IOC berhubung Infantino, termasuk keputusan FIFA menangguhkan penggantungan pemain penyerang AS Folarin Balogun daripada satu perlawanan Piala Dunia selepas Trump secara peribadi meminta Infantino menyemak semula kad merah yang diterimanya.

Infantino merupakan anggota IOC, namun jurucakap badan itu berkata suruhanjaya etika memutuskan bahawa IOC tidak mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan siasatan kerana aduan berkenaan tertumpu kepada keputusan dan tadbir urus FIFA.

“Suruhanjaya Etika IOC telah meneliti aduan FairSquare secara menyeluruh. 

“Suruhanjaya mendapati berdasarkan Piagam Olimpik, setiap persekutuan antarabangsa (IF) mengekalkan kebebasan dan autonomi dalam tadbir urus masing-masing. 

"Skop pemakaian Kod Etika IOC terhadap persekutuan antarabangsa serta pegawainya secara khusus terhad kepada hubungan mereka dengan IOC.

“Suruhanjaya Etika IOC mendapati aduan semasa, termasuk yang berkaitan dengan Presiden FIFA, hanya merujuk kepada keputusan IF mengenai tadbir urus dan pengurusannya, termasuk hubungan dengan kerajaan, serta pelaksanaan peraturan sukan oleh IF, yang kedua-duanya berada di luar skop Kod Etika IOC.

“Sehubungan itu, aduan berkenaan berada di luar bidang kuasa Suruhanjaya Etika IOC. FairSquare telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Secara berasingan daripada aduan ini, seperti ditegaskan pada Sidang IOC baru-baru ini, IOC akan meneruskan usaha memperkukuh tadbir urus baik di seluruh Pergerakan Olimpik serta meningkatkan kejelasan mengenai peranan, tanggungjawab dan kebertanggungjawaban setiap organisasi di bawahnya,” menurut jurucakap itu.

Sementara itu, FairSquare menyifatkan keputusan itu sebagai “tidak masuk akal”.

“Komitmen IOC terhadap prinsip berkecuali dalam politik sama ketat dengan FIFA. 

"Perkara ini hanya akan menguatkan lagi desakan supaya badan pentadbir sukan dikawal selia secara menyeluruh kerana mereka jelas tidak berupaya menguatkuasakan peraturan sendiri secara konsisten dan saksama,” menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan. 

FairSquare secara berasingan turut mengemukakan aduan terhadap Infantino kepada kamar siasatan Jawatankuasa Etika FIFA pada Disember lepas.

Aduan itu menyentuh empat kejadian yang didakwa menunjukkan Infantino secara terbuka menyokong tindakan dan dasar Trump.

FairSquare turut meminta Jawatankuasa Etika FIFA menyiasat peranan Infantino dalam keputusan memperkenalkan Anugerah Keamanan FIFA dan menganugerahkannya kepada Trump pada majlis undian Piala Dunia 2026, selain meneliti sama ada proses berkenaan mematuhi peraturan tatacara FIFA.

FairSquare berkata awal bulan ini bahawa pihaknya telah menerima pengesahan penerimaan aduan daripada Jawatankuasa Etika FIFA, namun tidak menerima sebarang maklumat lanjut sejak itu.

Aduan berkenaan dikemukakan sebelum tercetus kontroversi membabitkan Balogun.

Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada 5 Julai mengumumkan bahawa penggantungan automatik satu perlawanan terhadap penyerang Monaco itu ditangguhkan.

Trump pada hari berikutnya mendedahkan bahawa beliau secara peribadi meminta Infantino menyemak semula keputusan berkenaan.

Infantino menegaskan bahawa jawatankuasa FIFA bertindak secara bebas, namun Jawatankuasa Tatatertib tidak memberikan penjelasan mengenai keadaan khusus yang mendorong penangguhan hukuman itu.

The Times melaporkan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA Mohammad Al Kamali membuat keputusan itu secara bersendirian.

Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dalam satu kenyataan menyifatkan keputusan berkaitan Balogun sebagai “belum pernah berlaku, sukar difahami dan tidak dapat dipertahankan”.

Presidennya Aleksander Ceferin difahamkan tidak menghadiri perlawanan akhir Ahad lepas sebagai tanda protes terhadap isu itu serta beberapa kebimbangan lain mengenai tadbir urus FIFA.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement