Skip to main content

Dunia

Man Utd peroleh tanah, langkah signifikan untuk rancangan stadium baharu

Sumber: Manchester United
Manchester United mengumumkan bahawa mereka telah memperoleh tapak seluas 10.12 hektar berhampiran Old Trafford, sekali gus mengorak langkah besar dalam rancangan mereka untuk membina arena sukan terbesar di United Kingdom. - Gambar fail
Advertisement

LONDON: Manchester United berjaya mendapatkan sebahagian besar tanah yang diperlukan bagi cadangan pembinaan stadium baharu berkapasiti 100,000 tempat duduk, lapor PA Media/dpa.

Kelab itu mengumumkan bahawa mereka telah memperoleh tapak seluas 10.12 hektar berhampiran Old Trafford, sekali gus mengorak langkah besar dalam rancangan mereka untuk membina arena sukan terbesar di United Kingdom (UK).

Pembelian sebidang tanah berbentuk segi tiga yang terletak 350 meter ke barat laut stadium sedia ada itu bermakna tanah bersebelahan milik Freightliner tidak lagi diperlukan.

Sebelum ini, kedudukan terminal kargo berhampiran menjadi antara faktor yang rumit dalam perancangan berkenaan.

Ketua Eksekutif pembangunan stadium baharu, Collette Roche berkata: “Berita hari ini menonjolkan kemajuan yang sedang kami capai ke arah menyediakan gelanggang baharu bertaraf dunia untuk Manchester United dan ia merupakan satu peristiwa penting sebelum kami melangkah ke fasa pembangunan seterusnya.

“Keupayaan untuk membina stadium baharu yang begitu dekat dengan Old Trafford membolehkan kami memelihara warisan, tradisi dan ritual yang amat penting bagi peminat kami.

“Mendapatkan tanah yang sesuai untuk rumah baharu kami adalah perkara yang sangat kritikal, dan tanah yang kami peroleh ini memberikan kami pentas untuk menyediakan sebuah stadium bertaraf dunia yang menghargai masa lalu serta bersedia untuk masa hadapan kami.”

Kali pertama United mendedahkan rancangan untuk projek stadium  bernilai 2 bilion pound (AS$2.6 bilion) itu pada Mac 2025.

Venue terbaharu itu bakal menjadi tumpuan utama bagi projek penjanaan semula kawasan seluas 149.73 hektar yang lebih luas, merangkumi pembinaan 15,000 rumah baharu selain mewujudkan 48,000 peluang pekerjaan di peringkat tempatan dan 90,000 di peringkat nasional.

Pelan induk serta butiran mengenai tempoh rundingan rasmi akan diterbitkan pada 9 Julai ini.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa 

 

 

Must Watch Video

Advertisement