Skip to main content
Advertisement

Dunia

Piala ASEAN FIFA berpotensi kembali dalam empat tahun – Grafstrom

MATTIAS GRAFSTROM
Grafstrom berkata penetapan masa dan kalendar bagi edisi akan datang memerlukan persetujuan bersama antara FIFA, AFC dan persatuan anggota. - Foto REUTERS
Advertisement

JAKARTA: Kejohanan sulung Piala ASEAN FIFA 2026 berpotensi kembali dianjurkan dalam tempoh empat tahun lagi, tertakluk kepada perbincangan antara Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan persatuan anggota.

Setiausaha Agung FIFA Mattias Grafstrom berkata buat masa ini, keutamaan badan induk bola sepak dunia itu adalah memastikan edisi sulung kejohanan serantau berkenaan berlangsung dengan jayanya sebelum mempertimbangkan penganjuran edisi seterusnya.

Beliau berkata penetapan masa dan kalendar bagi edisi akan datang memerlukan persetujuan bersama antara FIFA, AFC dan persatuan anggota.

“Ini kali pertama kami menganjurkannya dan saya fikir kita perlu memberi tumpuan terlebih dahulu kepada kejohanan ini. Namun, saya percaya dan berharap ia akan mencapai kejayaan besar dan kami melihat potensi untuk menganjurkan edisi seterusnya dalam tempoh empat tahun lagi.

“Sudah tentu, perkara ini memerlukan kerjasama antara kami, persatuan anggota, AFC dan FIFA untuk menentukan kalendar terbaik. Namun, buat masa ini, kami mahu memastikan edisi ini mencapai kejayaan besar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) di sini Jumaat malam.

Terdahulu, Piala ASEAN FIFA membuka tirainya secara rasmi semalam dengan Malaysia memulakan kempen dengan langkah kanan selepas menewaskan Bangladesh 3-0.

Piala ASEAN FIFA diperkenalkan pada Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur tahun lepas menerusi kerjasama FIFA dan ASEAN, dengan kejohanan itu bermatlamat menjadikan bola sepak sebagai wadah menyatukan komuniti, memperkukuh pembangunan sukan berkenaan serta membuka lebih banyak peluang dalam arena bola sepak.

Edisi sulung kejohanan yang berlangsung dari 24 Sept hingga 5 Okt itu menghimpunkan 14 pasukan, dengan lapan daripadanya beraksi dalam Divisyen 1 di Indonesia, yang dibahagikan sama rata antara Jakarta dan Bandung, manakala enam lagi bersaing dalam Divisyen 2 di Hong Kong.

Kumpulan A Divisyen 1 dibarisi tuan rumah Indonesia, Malaysia, Singapura dan Bangladesh, manakala Kumpulan B menampilkan Thailand, Vietnam, Filipina dan Pakistan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement