PERUBAHAN masa tambahan daripada dua minit kepada tujuh minit ketika aksi separuh akhir Piala ASEAN FIFA antara Indonesia dan Bangladesh pada Khamis menjadi perhatian peminat bola sepak.
Pada awalnya, pembantu pengadil mengangkat papan tanda menunjukkan dua minit masa tambahan selain paparan televisyen turut menunjukkan tempoh yang sama.
Bagaimanapun, situasi berubah selepas Bangladesh meledak gol kedua apabila masa tambahan yang dipaparkan bertukar kepada tujuh minit sekali gus menimbulkan persoalan.
Dalam tempoh masa tambahan tersebut, Indonesia berjaya menjaringkan dua gol menerusi Kevin Diks pada minit ke-96 sebelum Mitchell Baker melengkapkan hatriknya pada minit ke-97.
Dua jaringan berkenaan membantu Indonesia mencatat kemenangan besar 9-2 ke atas Bangladesh dan mara ke final berdasarkan jumlah jaringan keseluruhan mengatasai Malaysia.
Perubahan tempoh masa tambahan itu kemudian menjadi bahan perbincangan hangat di media sosial dengan rata-rata peminat mempersoalkan bagaimana masa tambahan boleh berubah daripada dua kepada tujuh minit.
Seorang pengguna, Rozaini, mempersoalkan perkara tersebut menerusi hantaran di media sosial.
“Macam tak masuk akal, mula-mula masa tambahan dua minit tetapi selepas itu bertukar jadi tujuh minit,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna, Akmal Haris pula bertanya: “Apa yang terjadi dari dua minit ke tujuh minit?," katanya.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan FIFA berkenaan perkara tersebut. - Sinar Harian