Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Di bawah patung Messi setinggi 26 meter, Argentina rai kebangkitan ke final

People gather by a statue of Argentina's revered Lionel Messi while watching the World Cup semi-final between Argentina and England, in Cutral Co, in the Patagonian province of Neuquen, Argentina, July 15, 2026. REUTERS/Leila Miller
Di sebuah bandar kecil di wilayah Patagonia yang memiliki patung Lionel Messi setinggi 26 meter, rakyat Argentina meraikan dengan penuh kegembiraan kejayaan pasukan kebangsaan mereka mara ke final Piala Dunia selepas menewaskan seteru tradisi, England. - Gambar Reuters
Advertisement

CUTRAL CO, ARGENTINA: Di sebuah bandar kecil di wilayah Patagonia yang memiliki patung Lionel Messi setinggi 26 meter, rakyat Argentina meraikan dengan penuh kegembiraan kejayaan pasukan kebangsaan mereka mara ke final Piala Dunia selepas menewaskan seteru tradisi, England.

Suasana itu bukan hanya berlaku di Cutral Co, malah turut dirasai di Buenos Aires dan seluruh negara. 

Kini, hanya Sepanyol menjadi penghalang terakhir dalam usaha Argentina mencipta sejarah sebagai negara pertama mempertahankan gelaran Piala Dunia sejak 1962.

Di Cutral Co, yang terletak di wilayah Neuquen di selatan Argentina, kira-kira 300 penduduk berkumpul menyaksikan perlawanan menerusi layar gergasi yang dipasang bersebelahan patung Messi. 

Sorakan gemuruh bergema sebaik sahaja pengadil meniup wisel penamat perlawanan separuh akhir menentang England.

Argentina yang ketinggalan 0-1 berjaya bangkit sebelum mencatat kemenangan 2-1.

"Ia kemenangan yang penuh penderitaan," kata penduduk tempatan, Lucas Romero, 32, sambil berdiri di sisi isterinya yang jelas tidak dapat menyembunyikan kegembiraan.

Sambil menunjuk ke arah patung Messi, Romero berkata: "Ini adalah pengiktirafan yang wajar terhadap segala yang telah dilakukan Messi untuk negara ini."

Pertembungan Argentina dan England dalam separuh akhir Piala Dunia pada Rabu turut dibayangi sejarah panjang dan perseteruan antara kedua-dua negara.

Antaranya termasuk kemenangan England pada Piala Dunia 1966, konflik Perang Falkland pada 1982 yang dikenali di Argentina sebagai Islas Malvinas, serta jaringan kontroversi Diego Maradona menerusi insiden "Hand of God" pada Piala Dunia 1986.

Sebelum perlawanan berlangsung, Naib Presiden Argentina, Victoria Villarruel, menerusi platform X menggambarkan aksi itu lebih daripada sekadar perlawanan bola sepak.

"Ini bukan sekadar satu lagi perlawanan. Saya tidak mahu bersikap dingin atau terlalu berpolitik; menentang England sentiasa mempunyai makna yang lebih besar. Ia tentang Malvinas, tentang Diego, tentang kejohanan terakhir Leo dan tentang menghentikan pihak yang pernah menceroboh," katanya.

Cutral Co yang mempunyai kira-kira 40,000 penduduk terkenal sebagai komuniti pekerja industri minyak dan gas, khususnya di kawasan Vaca Muerta yang menyimpan antara rizab minyak dan gas asli terbesar dunia.

Bandar itu mendapat perhatian antarabangsa pada Jun lalu apabila merasmikan patung Messi hasil karya artis tempatan, Aldo Beroisa. 

Patung yang memaparkan Messi dalam posisi melutut sambil menunjuk jari ke langit itu diisytiharkan sebagai monumen Messi tertinggi di dunia.

Dari suasana sederhana kepada debaran luar biasa

Berbeza dengan Piala Dunia 2022 di Qatar, suasana menjelang kejohanan 2026 pada awalnya dilihat lebih sederhana dalam kalangan rakyat Argentina.

Ramai beranggapan tekanan tidak lagi setinggi sebelum ini memandangkan negara itu sudah pun menjulang trofi dunia di Qatar.

Namun, keadaan berubah dengan pantas apabila Argentina terus mara dalam kejohanan.

Setiap kemenangan menyaksikan ribuan penyokong membanjiri jalan-jalan utama di Buenos Aires untuk meraikan kejayaan pasukan mereka, terutama selepas beberapa perlawanan yang menyaksikan Argentina terpaksa bangkit daripada ketinggalan atau berdepan detik cemas.

Debaran yang semakin memuncak turut mendorong media tempatan menyiarkan temu bual bersama pakar kardiologi yang memberi peringatan tentang tanda-tanda serangan jantung akibat tekanan emosi ketika menyaksikan perlawanan.

Di Buenos Aires, yang kebiasaannya lengang ketika perlawanan berlangsung, jalan raya kembali dipenuhi penyokong selepas kemenangan ke atas England.

Bendera Argentina dikibarkan di seluruh bandar, manakala bunyi hon kenderaan bergema sebagai tanda meraikan kejayaan pasukan kebangsaan.

"Saya benar-benar dibanjiri emosi," kata Mariano Gecik, 49, seorang pensyarah universiti yang menyaksikan perlawanan itu di rumah rakannya.

"Sekali lagi, ini adalah kisah kebangkitan semula, ketabahan dan semangat juang yang luar biasa. Kami memang layak berada di final Piala Dunia," katanya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement