ATLANTA, AMERIKA SYARIKAT: Jurulatih Afrika Selatan, Hugo Broos meminta pengkritik terhadap pendekatannya dalam aksi pembukaan Piala Dunia minggu lalu supaya ‘berdiam diri’, sambil menegaskan beliau akan terus berpegang kepada strategi sendiri menjelang pertembungan Kumpulan A menentang Republik Czech, hari ini.
Tindakan Broos menggunakan pendekatan bertahan yang jarang diamalkan ketika tewas 0-2 kepada Mexico mencetuskan kritikan dalam kalangan peminat dan penganalisis di Afrika Selatan, lebih-lebih lagi apabila pasukannya gagal mencipta peluang berbahaya sepanjang perlawanan.
Keadaan bertambah buruk apabila mereka menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain selepas dua kad merah dilayangkan pada babak kedua, sekali gus meninggalkan gambaran kurang meyakinkan.
“Sudah 40 tahun saya menjadi jurulatih dan kritikan adalah sebahagian daripada tugas ini. Buat masa ini saya dikritik, namun orang ramai perlu tahu bahawa saya tetap melakukannya dengan cara saya,” katanya dalam sidang media, pada Rabu.
Beliau turut menegaskan tidak terpengaruh dengan pandangan di media sosial mahupun kritikan daripada pihak yang merasakan diri mereka layak menilai pasukan.
“Saya tidak pernah mengambil kira pandangan ‘sampah’ di media sosial. Saya juga tidak mendengar mereka yang merasakan diri cukup penting untuk mengkritik pasukan.
"Apabila saya melihat pencapaian mereka, saya rasa lebih baik mereka diam,” katanya, merujuk kepada bekas pemain yang kini menjadi pengulas.
Broos mengakui menyedari kelemahan pasukannya ketika menentang Mexico dan percaya pemain turut memahami kesilapan tersebut.
“Saya tahu apa yang tidak menjadi ketika menentang Mexico. Para pemain juga tahu dan itu yang paling penting. Selebihnya, saya akan terus melakukannya dengan cara saya,” tegasnya.
Jurulatih berpengalaman dari Belgium itu menambah, kemenangan ke atas Republik Czech amat penting untuk memastikan peluang Afrika Selatan mara ke pusingan seterusnya terus terpelihara, selepas kedua-dua pasukan tewas dalam aksi pembukaan.
“Situasi kami jelas. Jika gagal menang, perlawanan terakhir menentang Korea Selatan tidak lagi memberi makna.
“Kami perlu elakkan perkara itu. Kami tahu kesilapan yang dilakukan sebelum ini. Ada yang mengatakan saya terlalu berlembut dengan pemain, tetapi saya tidak suka menyalahkan mereka di hadapan kamera. Kadang-kadang sebagai jurulatih, anda terpaksa ‘bercakap manis’ sedikit,” katanya.
Sebelum ini, kenyataan Broos bahawa pasukannya masih boleh mengambil sesuatu yang positif daripada aksi menentang Mexico turut menerima reaksi sinis daripada penyokong.
Namun beliau memberi bayangan kemungkinan perubahan taktikal dalam perlawanan seterusnya.
“Kami tahu apa yang perlu diperbaiki dan akan cuba melakukannya, tetapi kami hanya boleh memperbaiki keadaan jika kami menguasai bola,” katanya. - Agensi