Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Jurulatih Mesir belum pasti Salah diturunkan menentang Australia

Sumber: REUTERS
Hossam Hassan (kiri) masih belum dapat mengesahkan sama ada penyerang utama, Mohamed Salah akan diturunkan dalam kesebelasan utama ketika berdepan Australia pada aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia di Stadium Dallas, hari ini. - Gambar Reuters
Advertisement

DALLAS, AMERIKA SYARIKAT: Ketua jurulatih Mesir, Hossam Hassan masih belum dapat mengesahkan sama ada penyerang utama, Mohamed Salah akan diturunkan dalam kesebelasan utama ketika berdepan Australia pada aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia di Stadium Dallas, hari ini.

Salah, 34, sedang menjalani proses pemulihan daripada kecederaan hamstring yang dialaminya ketika Mesir seri 1-1 dengan Iran pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, beliau kembali menjalani latihan ringan pada Rabu selepas membantu Mesir mara ke peringkat kalah mati buat kali pertama dalam sejarah kejohanan tersebut.

"Dia seorang pemain yang sangat bersemangat dan amat teruja untuk menyumbang kepada pasukan," kata Hassan.

"Saya tidak akan mengambil sebarang risiko selagi tidak benar-benar yakin dia berada pada tahap kecergasan 100 peratus dan bersedia sepenuhnya untuk beraksi.

"Kami berharap dia dapat bermain esok (hari ini), tetapi kami masih belum pasti sama ada dia akan berada dalam kesebelasan utama."

Setakat ini, Salah telah meledak satu gol dalam kejohanan berkenaan, termasuk menjaringkan gol kedua Mesir ketika bangkit menewaskan New Zealand 3-1 pada peringkat kumpulan.

Beliau meminta untuk dikeluarkan pada minit ke-57 ketika menentang Iran dan usahanya untuk kembali cergas telah menjadi tumpuan utama menjelang salah satu perlawanan paling penting dalam sejarah bola sepak Mesir.

"Dia antara pemain terbaik dunia. Saya bertuah dapat bekerja dengannya dan setakat ini kami mempunyai kerjasama yang sangat baik," ujar Hassan.

"Saya berjaya memanfaatkan kemampuannya dari sudut taktikal dan teknikal, malah dia telah melepasi jangkaan ramai terhadap prestasinya."

Australia yang dibimbing Tony Popovic dijangka memberi cabaran fizikal kepada Mesir, namun, Hassan percaya anak buahnya sudah bersedia menghadapi ujian tersebut.

"Di Afrika, kami sudah biasa berdepan pemain-pemain bertubuh tinggi, sama seperti pasukan Australia yang bakal kami temui," katanya.

"Keadaannya tidak jauh berbeza ketika kami menentang New Zealand, Belgium dan Iran. Kami sudah berpengalaman menangani situasi seperti ini.

"Setiap pasukan mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri, dan kami telah membuat persiapan rapi untuk menghadapi apa jua cabaran."

Mengulas mengenai kelebihan fizikal lawan, Hassan menegaskan, saiz tubuh bukan faktor penentu dalam bola sepak.

"Diego Maradona bukan pemain yang tinggi, begitu juga Lionel Messi. Ia bukan soal tinggi atau rendah.

"Kami bukan bermain ragbi. Kami bermain bola sepak. Bukan bola sepak Amerika, tetapi bola sepak sebenar, dan kami berada pada tahap terbaik serta bersedia sepenuhnya untuk perlawanan ini," katanya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement