PERLAWANAN Piala Dunia 2026 antara Switzerland dan Qatar berlangsung di hadapan ratusan tempat duduk kosong, sekali gus mencetuskan persoalan berterusan terhadap dasar harga tiket yang ditetapkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Perlawanan Kumpulan B di Stadium San Francisco Bay Area yang berkapasiti 70,000 penonton itu merupakan aksi pertama di Amerika Syarikat (AS) tanpa melibatkan tuan rumah, namun tetap gagal mencapai jualan penuh.
Walaupun tidak dijangka menjadi perlawanan tumpuan utama, ruang kosong jelas kelihatan di beberapa bahagian stadium sepanjang perlawanan berlangsung.
Waktu sepak mula tengah hari serta cuaca panas terik turut dipercayai menjejaskan kehadiran penonton, selain dakwaan biasa FIFA bahawa sebahagian penyokong berada di kawasan koridor stadium pada waktu tertentu.
Tiket masih ditawarkan beberapa jam sebelum sepak mula, namun laman rasmi FIFA menunjukkan status ketersediaan terhad pada hari perlawanan.
Tiket termurah dilaporkan dijual sekitar AS$450 (RM1,825) bagi kategori pertama di bahagian bawah stadium.
Sebelum ini, isu sama turut timbul apabila ribuan tempat duduk kosong dilaporkan dalam perlawanan antara Korea Selatan dan Republik Czech di Guadalajara, serta aksi Kanada menentang Bosnia dan Herzegovina di Toronto.
FIFA sebelum ini mempertahankan keadaan tersebut dengan menyatakan sebahagian penyokong berada di kawasan koridor dan bukan di tempat duduk masing-masing.
“Angka kehadiran rasmi merujuk kepada jumlah tiket yang diimbas dan penonton yang berada dalam kawasan stadium, bukan berdasarkan pemerhatian visual pada bila-bila masa sepanjang perlawanan,” kata jurucakap FIFA.
Tambahnya, FIFA bekerjasama rapat dengan pihak stadium dan pengurusan tiket bagi memastikan semua data kehadiran adalah berdasarkan maklumat operasi yang sah.
Menurut laporan, hanya 29 perlawanan telah habis dijual sebelum kejohanan bermula, manakala tiket masih ditawarkan untuk 75 perlawanan di laman rasmi FIFA beberapa hari sebelum sepak mula, meskipun Presiden FIFA, Gianni Infantino sebelum ini menyatakan permintaan terhadap kejohanan itu adalah 'tidak pernah berlaku sebelum ini'.
Dalam perkembangan berkaitan, amalan penjualan tiket Piala Dunia 2026 kini sedang disiasat pihak berkuasa undang-undang di AS, termasuk dakwaan harga dinaikkan secara tidak wajar serta penjualan yang mengelirukan peminat.
Penyokong turut mendakwa mereka dikelirukan mengenai lokasi tempat duduk, termasuk melalui pengenalan tiket kategori 'front' yang lebih mahal selepas fasa jualan awal dibuka.
Selain itu, turut timbul dakwaan harga tiket berubah mengikut fasa jualan dan tahap permintaan, sekali gus menyebabkan peningkatan harga bagi hampir 90 daripada 104 perlawanan secara purata 34 peratus.
FIFA juga didakwa menahan sebahagian tiket sebelum dilepaskan semula bagi mewujudkan kekurangan bekalan dan menaikkan harga.
Infantino sebelum ini mempertahankan struktur harga tiket dengan membandingkan kos tinggi acara sukan di AS seperti NBA Finals, selain menegaskan Piala Dunia merupakan kejohanan lebih besar.
Isu harga tiket Piala Dunia 2026 telah menjadi kontroversi sejak ia mula dijual pada November lalu, dengan harga tiket final dilaporkan mencecah sehingga AS$3,000 (RM12, 172), manakala peminat perlu membelanjakan sehingga AS$5,000 (RM20,287) untuk mengikuti pasukan mereka sepanjang kejohanan.
Penganjur menjangkakan pendapatan sehingga AS$13 bilion (RM52 bilion) daripada edisi kali ini. - Sinar Harian