Skip to main content

Dunia

Presiden Mexico terima undangan Trump hadiri final Piala Dunia

81749611193_tbClaudiaSheinbaum.jpg
Presiden Mexico Claudia Sheinbaum memberitahu wartawan pada Jumaat bahawa undangan itu disampaikan sendiri oleh Trump. - Gambar fail
Advertisement

MEXICO CITY: Presiden Mexico Claudia Sheinbaum secara mengejut menerima undangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menghadiri perlawanan akhir Piala Dunia, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Sheinbaum memberitahu wartawan pada Jumaat bahawa undangan itu disampaikan sendiri oleh Trump.

Beliau berkata Perdana Menteri Kanada Mark Carney, yang negaranya turut menjadi tuan rumah bersama kejohanan berkenaan, juga dijadual hadir.

Sebelum ini, Sheinbaum memilih untuk tidak menghadiri upacara pembukaan Piala Dunia di Mexico pada 11 Jun dan menyerahkan tiketnya kepada seorang wanita pribumi yang juga peminat tegar bola sepak.

Keputusan untuk menghadiri perlawanan final itu dibuat ketika hubungan Mexico dan AS tegang berhubung isu perdagangan dan keselamatan.

Setakat ini, Sheinbaum hanya pernah bertemu Trump sekali secara bersemuka ketika majlis undian Piala Dunia di Washington pada Disember.

Media Mexico melaporkan jadual lawatan beliau di negeri Quintana Roo diubah bagi membolehkannya menghadiri perlawanan akhir antara Argentina dan Sepanyol di East Rutherford, berhampiran New York.

Raja Sepanyol Raja Felipe VI, Permaisuri Letizia, Puteri Mahkota Leonor dan Infanta Sofรญa turut dijadual berada di stadium pada Ahad untuk memberikan sokongan kepada pasukan negara mereka.

Bagaimanapun, Presiden Argentina Javier Milei tidak akan menyaksikan perlawanan itu di stadium kerana berpegang kepada kepercayaan.

Amalan yang dikenali sebagai cรกbalas itu menjadi sebahagian daripada budaya bola sepak dalam kalangan ramai penyokong Argentina, termasuk menonton perlawanan di tempat sama atau memakai pakaian yang sama setiap kali pasukan mereka beraksi.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement