Skip to main content

Dunia

Skuad Iran berlatih di Turkiye dengan kawalan media ketat menjelang aksi pemanas badan Piala Dunia

Soccer Football - International Friendly - Iran Training - Huseyin Aygun Football Center, Antalya, Turkey - March 25, 2026 Iran players during training REUTERS/Umit Bektas
Skuad Iran mengadakan sesi latihan di Belek, sebuah kawasan peranginan berhampiran bandar Mediterranean Antalya, dengan akses media yang sangat terhad. - Gambar Reuters

BELEK, TURKIYE: Pasukan lelaki Iran menjalani latihan di selatan Turki pada Rabu ketika mereka bersiap untuk dua perlawanan persahabatan menjelang Piala Dunia, di mana skuad itu dijangka menarik perhatian lebih besar berikutan latar konflik peperangan Amerika Syarikat–Israel terhadap Iran.

Pasukan itu mengadakan sesi latihan di Belek, sebuah kawasan peranginan berhampiran bandar Mediterranean Antalya, dengan akses media yang sangat terhad kerana pegawai pasukan berkata, mereka mahu mengelakkan sebarang gangguan menjelang perlawanan yang dianggap kritikal bagi persiapan Piala Dunia.

Advertisement

Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj pada minggu lalu berkata, badan itu sedang berbincang dengan FIFA mengenai kemungkinan memindahkan perlawanan Piala Dunia mereka dari Amerika Syarikat ke Mexico berikutan kebimbangan terhadap keselamatan pemain.

Kem latihan Iran sebahagian besarnya cuba merendahkan profil umum ketika mereka membina persiapan ke Piala Dunia, di mana mereka dijangka berdepan tekanan politik dan liputan media yang intensif. 

Di Belek, tiada temu bual diberikan kepada pemain atau jurulatih dan seorang wakil media pasukan berkata, skuad itu memberi tumpuan sepenuhnya kepada program pertandingan terdekat mereka.

Iran akan bermain dua perlawanan di Antalya — menentang Nigeria pada Jumaat dan Costa Rica pada Selasa.

Perlawanan persahabatan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di Jordan tetapi dipindahkan ke Turkiye selepas tercetusnya perang Iran.

Para pemain kelihatan santai sepanjang sesi latihan dalam cuaca cerah, dengan kakitangan dan pemain kadang kala berbual dan bergurau sesama mereka.

Antara yang hadir ialah penyerang Mehdi Taremi, yang menjadi perhatian beberapa hari kebelakangan ini selepas bertukar jersi dengan pemain Israel ketika beraksi untuk kelabnya, Olympiacos, di Greece.

Penyerang Sardar Azmoun pula digugurkan daripada skuad selepas memuat naik gambar pertemuannya dengan pemerintah Dubai, Mohammed bin Rashid Al Maktoum, di Instagramnya.

Media Iran melaporkan bahawa Azmoun - yang telah menjaringkan 57 gol dalam 91 penampilan antarabangsa - telah disingkirkan daripada pasukan kebangsaan kerana dianggap melakukan perbuatan tidak setia kepada kerajaan. - Agensi

Must Watch Video