CHOLPON-ATA: Pemanah berkuda negara, Adawiyyatunnisa Azham Affif mencipta pencapaian membanggakan apabila menduduki tempat kelima keseluruhan kategori wanita pada Sukan Nomad Dunia Keenam 2026 di Kyrgyzstan.
Atlet berusia 20 tahun itu membuat penampilan sulung di temasya berkenaan dengan menyertai dua acara pemanahan berkuda di Kyrchyn Gorge, Issyk-Kul pada 3 dan 5 September lalu.
Dalam acara gaya Kyrgyz, wakil Akademi JEQMA (Jawi Equestrian Martial Arts) itu menamatkan saingan di tempat keempat dengan 21.25 mata, hanya 0.06 mata di belakang Yulia Lozhnikova dari Rusia yang meraih gangsa dengan 21.31 mata.
Anna Sókólska dari Poland meraih perak dengan 28.10 mata, manakala Gunbileg Ganbaatar dari Mongolia muncul juara dengan 30.09 mata.
Dalam acara gaya Magyar atau Hungarian, Adawiyyatunnisa terpaksa membuat penyesuaian pada saat akhir selepas kuda pilihan pertamanya mengalami kecederaan.
Beliau kemudiannya bertanding dengan kuda gantian dan menamatkan saingan di tempat ke-13, manakala seorang lagi wakil Malaysia, Qaseh Nur Humaira Azmi berada di tempat ke-14.
Keputusan dalam kedua-dua acara menyaksikan Adawiyyatunnisa menduduki tempat kelima keseluruhan kategori wanita.
Sókólska muncul juara keseluruhan, diikuti Ganbaatar di tempat kedua, manakala dua wakil Kazakhstan, Yksan Aruzhan dan Moldir Berdike masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.
Bagi Adawiyyatunnisa, pencapaian itu menjadi pengalaman penting dalam usaha meningkatkan prestasi untuk menghadapi saingan antarabangsa akan datang.
"Walaupun mendapat kedudukan lima teratas, masih ada banyak yang perlu saya perbaiki dan tambah baik terutamanya dari segi teknik, konsentrasi dan konsistensi.
"Ini satu motivasi untuk saya teruskan bekerja keras untuk mempertajamkan kemampuan seterusnya mencapai potensi terbaik saya dan mengharumkan nama Malaysia," katanya.
Pelajar tahun pertama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu turut muncul sebagai wakil Malaysia kedua terbaik dalam saingan lelaki dan wanita selepas Haddif Hamidi, selain menduduki tempat ke-17 keseluruhan daripada 123 peserta.
Penyertaan di Kyrgyzstan merupakan penampilan ketiga Malaysia di temasya dwi tahunan ini selepas edisi 2018 di Iznik, Türkiye dan 2022 di Astana, Kazakhstan.
Sukan Nomad Dunia Keenam berlangsung dari 31 Ogos hingga 6 September dengan penyertaan atlet dari 51 negara dalam pelbagai sukan tradisional dan warisan di Bishkek Arena.
Kazakhstan muncul juara keseluruhan dengan 32 emas, 20 perak dan 22 gangsa, diikuti tuan rumah Kyrgyzstan dengan 30 emas, 35 perak dan 19 gangsa, manakala Rusia di tempat ketiga dengan tujuh emas, lapan perak dan 21 gangsa.
Pada upacara penutup di Hippodrome Cholpon-Ata pada 6 September, Kyrgyzstan menyerahkan obor penganjuran edisi ketujuh Sukan Nomad Dunia kepada Republik Tatarstan, Rusia yang akan menjadi tuan rumah pada 2028.