Skip to main content

Malaysia

Al-Ahli kirim sejambak bunga, Ali Majrashi lawat Jairo

Juara bertahan, Al-Ahli, sempat mengirimkan sejambak bunga buat pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Jairo Da Silva, sebagai tanda semoga cepat sembuh buat tonggak tersebut selepas mengalami kecederaan serius di bahagian muka dan kepala baru-baru ini.
Al-Ahli menunjukkan semangat kesukanan tinggi apabila mengirimkan sejambak bunga kepada pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Jairo Da Silva. - Gambar/ X @ALAHLI_FCEN

JUARA bertahan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Al-Ahli, menunjukkan semangat kesukanan tinggi apabila mengirimkan sejambak bunga kepada pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Jairo Da Silva, sebagai tanda mendoakan kesembuhan segera selepas tonggak Harimau Selatan itu mengalami kecederaan serius di bahagian muka dan kepala.

Insiden tersebut berlaku ketika perlawanan suku akhir ACLE menentang Al-Ahli, apabila Jairo menjadi mangsa sepakan akrobatik oleh pemain lawan, Ali Majrashi, dalam perebutan bola.

Advertisement

Impak sepakan pada muka itu menyebabkan pemain kelahiran Brazil berkenaan terpaksa dikeluarkan dari padang dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pasukan dan penyokong.

 

 

Dalam perkembangan sama, Majrashi yang dilayangkan kad merah susulan insiden itu turut mengambil inisiatif melawat Jairo di hospital sebagai tanda semangat kesukanan, selain bertanyakan keadaan semasa pemain berusia 31 tahun berkenaan.

Tindakan itu mendapat pujian ramai kerana mencerminkan nilai kemanusiaan dan profesionalisme dalam arena bola sepak.

Jairo dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan beransur pulih selepas menerima beberapa jahitan serta rawatan susulan, sebelum dibenarkan keluar dari hospital.

Pada aksi berkenaan, Al-Ahli yang beraksi selaku tuan rumah berjaya menewaskan skuad kendalian Xisco Munoz 2-1 meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain hampir separuh masa perlawanan, sekali gus melayakkan diri ke separuh akhir dan menamatkan kempen JDT dalam saingan ACLE musim ini. - Stadium Astro
 

 

Must Watch Video