Skip to main content

Malaysia

Azizulhasni tunggu keputusan KBS, MSN untuk teruskan misi LA28

Sumber: BERNAMA
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Rahimi Ismail (tiga dari kiri) menyampaikan inisiatif kemenangan kepada Azizulhasni, malam tadi. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang masih menanti keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung keperluan khidmatnya dalam meneruskan misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Mohd Azizulhasni, 38, berkata, keputusan itu perlu dibuat segera bagi membolehkannya merancang hala tuju selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, selain membuat persiapan rapi menghadapi Kejohanan Dunia di Shanghai yang menjadi antara platform penting dalam proses kelayakan Olimpik.

Beliau berkata, walaupun KBS dan MSN setakat ini bersedia memberikan sokongan, beliau masih belum menerima keputusan rasmi sama ada khidmatnya diperlukan bagi meneruskan misi ke LA28.

“Mereka perlu buat keputusan secepat mungkin, sekiranya khidmat saya diperlukan untuk Sukan Olimpik. Saya perlu tahu supaya dapat buat buat perancangan. Sebab kalau nak layak ke Sukan Olimpik, selepas ke Sukan Asia kita perlu terbang ke Shanghai untuk Kejohanan Dunia. 

"Kalau Malaysia tak perlukan saya, saya perlu balik jumpa keluarga saya, sudah lama saya tak jumpa keluarga," katanya kepada pemberita pada majlis makan malam Majlis Datuk Persekutuan Malaysia menghargai Mohd Azizulhasni Awang dan pemenang pingat Sukan Komanwel 2026 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), di sini, pada Selasa. 

The Pocket Rocketman itu berkata, Kejohanan Dunia di Shanghai amat penting kerana ia menawarkan mata besar dalam proses kelayakan Olimpik.

“Kalau kita terlepas Kejohanan Dunia pertama yang menawarkan mata terbesar itu, perjalanan itu bukan mustahil tetapi ia akan menjadi lebih sukar. Ini bermakna kita perlu konsisten berada di podium,” katanya.

Pemenang pingat emas acara keirin di Sukan Komanwel Glassgow 2026 itu berkata, keputusan berhubung masa depannya juga perlu mengambil kira perancangan bersama keluarga dan penaja yang selama ini menyokong kerjayanya secara profesional.

“Saya perlu duduk dengan penaja juga untuk kita merancang perjalanan kerana saya bergerak secara profesional. Mereka yang menyokong saya selama ini, jadi tidak adil kalau saya tidak berbincang dengan mereka apa yang seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, walaupun MSN sebelum ini menyatakan kesediaan untuk terus menyokong namun perkara itu masih belum cukup jelas untuk membolehkannya membuat perancangan jangka panjang.

Mengenai persediaan ke Sukan Asia Aichi-Nagoya, Mohd Azizulhasni berkata, skuad negara dijadual berlepas ke Brisbane, Australia pada Khamis untuk menjalani kem latihan selama lebih empat minggu sebelum menuju ke Jepun bagi menghadapi temasya sukan berprestij itu. 

Terdahulu, Majlis Datuk Persekutuan Malaysia pada majlis malam tadi menghargai jasa atlet negara yang meraih pingat pada Sukan Komanwel menerusi penyampaian insentif terkumpul berjumlah RM100,000 daripada 12 penaja.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement