KUALA LUMPUR: Bahrain akan mengetengahkan warisan budaya, sajian dan hiburannya kepada peminat sukan permotoran di Asia menerusi The Bahrain Village serta tarikan lain di luar litar sempena Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 dari Jumaat hingga Ahad.
Acara tiga hari itu turut menampilkan persembahan akrobat terkenal dari China, penghibur bergerak serta konsert bintang muzik Martin Garrix dan Axwell, menurut Litar Antarabangsa Bahrain (BIC).
BIC memaklumkan perlumbaan itu memberi peluang untuk memperkenalkan Bahrain dan Grand Prixnya kepada kelompok baharu peminat sukan permotoran di Asia, di samping mengetengahkan tarikan pelancongan dan kebudayaan negara itu serta pengalaman luasnya dalam menganjurkan acara Formula 1.
Menurut BIC, The Bahrain Village yang dianjurkan Pihak Berkuasa Pelancongan dan Pameran Bahrain (BTEA) akan ditempatkan di kawasan pusat beli-belah Litar Antarabangsa Sepang (SIC), bagi memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri pengalaman berkaitan warisan budaya Bahrain.
“The Bahrain Village akan memberi peluang kepada peminat untuk mengenali warisan Bahrain secara langsung dan memahami dengan lebih mendalam tradisi yang terus membentuk identiti negara itu.
“Perkampungan itu turut mengetengahkan ciri kontemporari Bahrain menerusi penyertaan jenama makanan dan minuman tempatan, sekali gus memberi peluang kepada penonton perlumbaan menikmati cita rasa Bahrain serta kepelbagaian sajian negara itu,” menurut BIC.
Hiburan untuk seisi keluarga termasuk persembahan akrobat dari China di Zon Peminat SIC sepanjang hujung minggu, selain penghibur bertongkat tinggi, pemuzik, ahli silap mata dan penghibur lain yang bergerak di sekitar kawasan acara.
Program hiburan itu turut menampilkan konsert DJ dan penerbit muzik yang pernah dicalonkan untuk Anugerah Grammy, Axwell pada Sabtu, diikuti artis rakaman multi-platinum Martin Garrix selepas perlumbaan pada Ahad.
Tiket konsert hanya tersedia kepada pemegang tiket perlumbaan hujung minggu, masing-masing berharga US$50 bagi persembahan Axwell dan US$100 bagi Martin Garrix, dengan tiket berasingan diperlukan untuk setiap persembahan.
BIC memaklumkan tiket perlumbaan hujung minggu masih tersedia dalam jumlah terhad dan menggalakkan peminat mendapatkannya menjelang acara tiga hari itu.
-- BERNAMA