KUALA LUMPUR: Selepas mengharungi sembilan kejohanan berturut-turut sejak Mei lepas, pelari pecut lelaki negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee mengakui beliau sudah bersedia sepenuhnya untuk membuat penampilan sulung pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Atlet berusia 19 tahun itu akan beraksi dalam tiga acara, iaitu 200 meter, 4x100 meter lelaki dan 4x100 meter campuran.
Danish Iftikhar berkata dari segi mental, beliau telah bersedia sepenuhnya tetapi keadaan fizikalnya sedikit terjejas akibat jadual pertandingan yang padat dalam tempoh singkat.
“Alhamdulillah, mental saya sudah bersedia 100 peratus tapi fizikal tidak menunjukkan saya dalam keadaan 100 peratus kerana kejohanan berturut-turut dalam tempoh yang cukup singkat,” katanya ketika ditemui di Bukit Jalil semalam.
Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2025 itu bagaimanapun memaklumkan beliau sempat menjalani rehabilitasi selama seminggu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Institut Sukan Negara (ISN) baru-baru ini.
Beliau berkata usaha berkenaan membantu meningkatkan tahap kecergasan fizikalnya daripada sekitar 60 hingga 70 peratus selepas pulang dari Oman kepada antara 80 hingga 100 peratus ketika ini.
Danish Iftikhar adalah antara atlet negara yang telah berlepas ke Sendai, Jepun semalam bagi menjalani kem latihan berpusat di bawah kendalian Ketua Jurulatih Acara Pecut Negara Thabo Matebedi dengan sasaran utamanya adalah untuk tidak mengalami sebarang kecederaan.
Acara olahraga pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 akan berlangsung dari 23 hingga 29 Sept ini.
-- BERNAMA