SEPANG: Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Bahrain Putera Salman bin Hamad Al Khalifa berangkat tiba di Malaysia hari ini bagi satu lawatan khas bersempena dengan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang bermula hari ini.
Pesawat khas yang membawa Putera Salman mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 tengah hari.
Keberangkatan tiba Putera Salman disambut oleh Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Sultan Ibrahim.
Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dan Duta Besar Bahrain ke Malaysia Dr Waleed Khalifa Al Manea.
Ketua Protokol Duta Mohd Ikram Ibrahim, Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Datuk Rozainor Ramli dan Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini turut hadir.
Sebaik tiba, Putera Salman berjalan melintasi kawalan kehormatan terdiri daripada 28 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang diketuai oleh Kapten Muhamad Thabrani Mohamad Sharudin.
SIC dipilih untuk menjadi tuan rumah F1 GP Gulf Air Bahrain 2026, sekali gus menjadikan litar ikonik itu sebagai lokasi sementara bagi perlumbaan berprestij itu.
Pada Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan yang berlangsung hingga Ahad ini, susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Perjanjian berkenaan memastikan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan itu dibatalkan pada awal musim ini berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum dugugurkan daripada kalendar F1.
Kembalinya perlumbaan berprestij ini ke Malaysia ialah hasil usaha kejayaan diplomasi antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al-Khalifa.
-- BERNAMA