KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil merakamkan ucapan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang atas kejayaan merangkul pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, awal pagi tadi.
Fahmi menerusi hantaran dalam Facebook hari ini menyifatkan atlet yang mendapat jolokan “The Pocket Rocketman” itu sebagai kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.
“Tiada kata mampu menggambarkan betapa bangganya kita melihat segala kejayaan yang dilakar insan hebat ini.
“Bertahun-tahun membawa nama Malaysia pada pentas dunia, jatuh dan bangkit, berjuang tanpa pernah mengenal erti menyerah. Tahniah, Dato’ Azizul,” katanya.
Terdahulu, Mohd Azizulhasni Awang meraih emas acara keirin lelaki di Velodrom Sir Chris Hoy, Glasgow awal pagi tadi, (Jumaat malam waktu Scotland).
Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu mengatasi pelumba Australia Leigh Hoffman dan wakil England Harry Ledingham-Horn, yang masing-masing meraih perak dan gangsa.
Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menamatkan saingan pada tempat ketujuh.
-- BERNAMA