Skip to main content

Malaysia

Kian Meng nafi dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih beregu campuran negara

BERNAMA
Kian Meng berkata beliau kini bertanggungjawab mengendalikan ketiga-tiga disiplin beregu iaitu beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran memandangkan jumlah pemain skuad England tidak ramai. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas pemain beregu campuran negara Tan Kian Meng menegaskan kepulangannya ke Malaysia ketika ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kekosongan jawatan ketua jurulatih beregu campuran kebangsaan bagi menggantikan Nova Widianto. 

Sebaliknya, jurulatih utama skuad beregu England itu berkata beliau hanya mengendalikan kem latihan skuad England di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini. 

Kian Meng berkata beliau masih mempunyai kontrak bersama skuad England hingga 2028 dan komited meneruskan tanggungjawab membangunkan skuad negara tersebut.

“Saya tak ada kaitan dengan apa-apa yang berlaku dalam skuad negara sekarang. Saya hanya bawa pasukan (England) ke sini.

"Saya masih ada kontrak sampai 2028,” jawabnya apabila ditanya sekiranya BAM memberi tawaran sebagai jurulatih beregu campuran kebangsaan di ABM di sini hari ini. 

Kian Meng berkata beliau kini bertanggungjawab mengendalikan ketiga-tiga disiplin beregu iaitu beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran memandangkan jumlah pemain skuad England tidak ramai.

Beliau menjelaskan jawatannya sebagai jurulatih utama berbeza daripada ketua jurulatih yang bertanggungjawab menyelia semua disiplin termasuk perseorangan.

“Saya jurulatih utama beregu lelaki Badminton England. Di sana, jurulatih utama dan ketua jurulatih berbeza. Ketua jurulatih urus semua disiplin, tetapi saya urus semua acara beregu,” katanya.

Pada Julai lepas, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan Nova menamatkan khidmatnya untuk kembali ke Indonesia dan BAM sedang mencari pengganti bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan. 

Sementara itu, Kian Meng menyifatkan rombakan beregu lelaki Malaysia yang dilakukan Ketua Jurulatih Beregu Lelaki negara, Herry Iman Pierngadi membuahkan hasil positif apabila gandingan Aaron Chia-Aaron Tai muncul naib juara Terbuka Taiwan bertaraf Super 300, Ahad lepas.

"Saya rasa keputusan Herry itu agak positif kerana pemain seperti Aaron Tai dapat bergandingan dengan Aaron Chia dan saya fikir kombinasi baharu itu memberikan satu permulaan yang segar.

"Mungkin mereka sudah lama bersama pasangan masing-masing, jadi sekarang mereka perlukan sedikit pembaharuan dan saya rasa perubahan ini boleh membawa sesuatu yang baik," katanya.

Beliau berkata pemain-pemain yang digandingkan semula tidak perlu bermula di kejohanan bertaraf lebih rendah kerana sudah terbukti mereka pemain elit dunia dan hanya memerlukan masa untuk membentuk keserasian serta memperkemas kombinasi di gelanggang.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement