Skip to main content

Malaysia

Pulau Pinang beri insentif SKIMAS kepada juara judo Sukan Komanwel Amir Daniel - Exco

GLASGOW, 1 Ogos -- Atlet judo lelaki negara Amir Daniel Abdul Majeed bergambar bersama pingat emas yang dimenanginya dalam kategori 81 kilogram lelaki di temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Scottish Event Campus (SEC) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA    GLASGOW, Aug 1 -- National men's judo athlete Amir Daniel Abdul Majeed posing with the gold medal he won in the men's 81kg category at the Glasgow 2026 Commonwealth Games at the Scottish Event Campus (SEC) today.  --fotoBERNAMA (2026)
Gooi berkata kejayaan dilakar Amir Daniel membuktikan peningkatan prestasi yang konsisten atlet muda itu selepas meraih pingat emas pada Sukan SEA tahun lepas. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan memberikan insentif kepada Amir Daniel Abdul Majeed atas kejayaan atlet kelahiran negeri itu mencipta sejarah menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara judo sepanjang penyertaan pada temasya Sukan Komanwel.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata Amir Daniel layak menerima ganjaran menerusi Skim Insentif Kemenangan Sukan (SKIMAS) Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai penghargaan terhadap kejayaannya mengharumkan nama Pulau Pinang dan negara di pentas antarabangsa.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kami mengucapkan syabas dan tahniah kepada Amir Daniel atas pencapaian penuh bersejarah ini.

“Sememangnya beliau layak menerima ganjaran SKIMAS yang ditawarkan kerajaan negeri, namun jumlah amaun akan diumumkan Ketua Menteri (Chow Kon Yeow),” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan Amir Daniel di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, tengah malam tadi.

Kejayaan bersejarah itu menjadikan Amir Daniel muncul atlet judo Malaysia pertama meraih pingat emas di Sukan Komanwel selepas menjuarai kategori bawah 81 kilogram lelaki, menewaskan atlet Afrika Selatan Timothy Meuwsen menerusi mata waza-ari menggunakan teknik kata-guruma pada aksi final di Scottish Event Campus pada edisi Glasgow 2026, baru-baru ini.

Terdahulu, atlet berusia 22 tahun itu diberikan sambutan wira sebaik tiba di LTAPP bersama jurulatihnya, Md Nashriq Md Nasir, dengan tepukan gemuruh dan sorakan oleh wakil Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang, ahli keluarga serta rakan-rakan.

Mengulas lanjut, Gooi berkata kejayaan dilakar Amir Daniel membuktikan peningkatan prestasi yang konsisten atlet muda itu selepas meraih pingat emas pada Sukan SEA tahun lepas.

Beliau berharap Amir Daniel meneruskan latihan sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia 2026 dengan sasaran menambah lebih banyak kejayaan serta pingat emas buat negara.

Sementara itu, Amir Daniel berkata beliau terharu dengan sambutan diberikan selain gembira dapat berkongsi kejayaan tersebut bersama-sama keluarga dan rakan-rakan.

Penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) itu tidak akan berehat lama, sebaliknya beliau berkata akan kembali menjalani latihan bermula hari ini sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, yang dijadual berlangsung September ini.

“Selepas ini fokus saya ialah membuat persiapan untuk Sukan Asia. Sasaran jangka panjang saya pula adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement