Skip to main content

Malaysia

RTM perluas liputan Glasgow 2026 menerusi RTMKlik dan Astro

Credit : Rizal Sukaimi
Ikuti perjuangan 59 atlet Malaysia termasuk 22 atlet para di Sukan Komanwel Glasgow 2026 menerusi Sukan+ Astro 806, TV Okey 146, Berita RTM 505 dan platform RTMKlik. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi diberikan kepercayaan untuk menjadi penyiar rasmi temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang berlangsung di Scotland bermula 23 Julai hingga 2 Ogos depan.

Pelantikan itu menyaksikan RTM meneruskan momentum kejayaan liputan Piala Dunia FIFA 2026 dengan membawakan siaran langsung aksi atlet negara di pentas antarabangsa menerusi saluran sukannya

Selain saluran Sukan+ di Astro 806 yang menjadi platform utama liputan Sukan Komanwel Glasgow 2026, pelanggan Astro juga boleh mengakses saluran-saluran RTM lain termasuk TV1 (saluran 101), TV2 (102), Berita RTM (505) dan TV Okey (146).

Kerjasama strategik yang diperkukuhkan antara RTM dan Astro turut menyaksikan rangkaian saluran radio RTM kembali ditawarkan kepada pelanggan Astro, sekali gus memperluaskan akses rakyat kepada kandungan berita, sukan dan perkhidmatan penyiaran awam negara

Menurut RTM, hampir 100 jam siaran akan disediakan sepanjang temasya berlangsung, termasuk siaran langsung upacara pembukaan dan penutupan, laporan harian serta sorotan khas untuk peminat sukan tanah air.

Liputan harian dijadualkan berlangsung dalam dua sesi utama, iaitu sesi petang dari pukul 6 petang hingga 9 malam bermula 24 Julai hingga 2 Ogos, serta sesi awal pagi dari pukul 1 pagi hingga 4 pagi bermula 25 Julai hingga 2 Ogos.

RTM turut menyediakan slot sorotan harian selama sejam bermula 25 Julai hingga 3 Ogos.

Siaran Grandstand Upacara Pembukaan pula akan bersiaran secara langsung pada 24 Julai dari pukul 2.30 pagi hingga 5.30 pagi menerusi Sukan+, dengan gandingan hos Zachki Ahmad Suri, Nik Syafiq Hadhari dan Nazrie Fahmie mengemudi program berkenaan.

Bagi edisi kali ini, kontinjen Malaysia diketuai Chef de Mission Datuk Awalan Abdul Aziz dan dibarisi 59 atlet, terdiri daripada 37 atlet able dan 22 atlet para yang akan bersaing dalam 64 acara melibatkan lapan jenis sukan.

Antara sukan yang disertai negara ialah angkat berat dan powerlifting, renang dan para renang, berbasikal trek dan para berbasikal trek, bola keranjang 3x3 dan bola keranjang kerusi roda 3x3, gimnastik artistik, judo, boling padang dan para boling padang serta olahraga dan para olahraga.

Malaysia meletakkan sasaran untuk membawa pulang lima pingat emas, dua pingat perak dan empat pingat gangsa berdasarkan potensi atlet serta prestasi semasa yang ditunjukkan menjelang temasya itu.

Dalam perkembangan berkaitan, pelanggan Astro dan NJOI kini juga boleh mengikuti saluran Berita RTM dan Sukan+ menerusi platform berkenaan, selain siaran radio RTM yang dijangka kembali menemui pendengar melalui Astro.

Jadi ayuh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memberikan sokongan kepada kontinjen negara, khususnya skuad para yang turut membawa cabaran Jalur Gemilang di Glasgow dalam usaha merealisasikan sasaran negara pada Sukan Komanwel 2026. 

Must Watch Video

Advertisement