SEREMBAN: Industri bola sepak tanah air terus mendapat suntikan keyakinan daripada sektor korporat apabila Kedai Emas Sri Semantan (KESS) secara rasmi tampil sebagai penaja utama pasukan Kelantan City FC yang beraksi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro musim ini.
Syarikat emas terkemuka itu menyalurkan tajaan tunai bernilai RM2 juta bagi memperkasakan kelab berkenaan, sekali gus meletakkan sasaran tinggi buat Kelantan City FC untuk melangkah lebih jauh dalam kancah bola sepak tempatan.
Pengerusi KESS, Mohamad Hafizal Mahmood berkata, keputusan untuk menaja Kelantan City FC didorong oleh kehangatan serta kesetiaan penyokong Kelantan yang disifatkannya amat luar biasa dan selari dengan nilai kemasyarakatan yang dipegang oleh syarikatnya.
“Sokongan penyokong Kelantan amat padu dan mendalam, amat melekat di jiwa saya. Kekuatan penyokong ini sangat bertepatan dengan konsep komuniti yang kami terapkan di Kedai Emas Sri Semantan.
“Saya yakin dengan kemampuan Liga A1 ini, Kelantan City ini sebab satu (pemainnya) anak-anak muda. Semangat pemain-pemain dia memang lain macam,” katanya pada sidang media pada aksi timbal balik Pusingan 16 Piala FA antara Kelantan City dan Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Mohamad Hafizal dalam pada itu turut meletakkan cabaran dan keyakinan tinggi kepada barisan pemain serta pengurusan Kelantan City FC untuk menamatkan saingan di kelompok tiga teratas musim ini.
Malah, beliau mengemukakan jaminan ganjaran bernilai RM5 juta sekiranya kelab itu berjaya meraih slot ke saingan divisyen utama, Liga Super, bagi musim hadapan.
“Untuk saingan A1 musim ini, kita peruntukkan RM2 juta secara bayaran berkala bulanan bagi memastikan kestabilan pengurusan kelab.
“Sekiranya mereka berjaya layak ke Liga Super tahun depan, insya-Allah pihak KESS berbesar hati menambah tajaan sehingga RM5 juta,” ujarnya.
Menyentuh penglibatan KESS dalam sukan negara, Mohamad Hafizal menjelaskan syarikatnya sebelum ini pernah menyalurkan penajaan RM4 juta kepada pasukan Liga Super, Sabah FC.
Namun, bagi saingan A1 Semi-Pro, Kelantan City FC menjadi pilihan utama hasil gabungan semangat pemain muda dan sokongan akar umbi.
Mengulas mengenai peranan sektor swasta dalam kemelut yang melanda arena bola sepak tempatan, Mohamad Hafizal menyifatkan penajaan tersebut sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat untuk memulihkan kestabilan industri itu.
“Saya setuju sangat, kita lihat lihat banyak masalah sebelum ini, jadi kita yang berkemampuan sedikit tak kisahlah pihak korporat atau swasta perlulah sama-sama membantu membangunkan bola sepak di negeri masing-masing,” katanya.
Beliau turut menitipkan mesej khas buat penyokong setia Kelantan agar terus memberikan sokongan moral, sambil memberikan komitmen jangka panjang KESS dalam mendukung kebangkitan bola sepak negeri berkenaan.
“Sekiranya pasukan ini terus menunjukkan prestasi dan komitmen yang tinggi, KESS bersedia untuk terus memberikan sokongan pada masa akan datang.
“KESS bukan sekadar mahu menaja pasukan, tetapi mahu menjadi sebahagian daripada perjalanan kebangkitan bola sepak Kelantan dan Malaysia secara umumnya,” tambah beliau.
Penglibatan KESS juga selaras dengan komitmen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat yang merangkumi pemeliharaan seni budaya, bantuan kewangan kepada golongan asnaf, serta tajaan pendidikan bagi pelajar kurang mampu.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan City FC, Datuk Ahmad Razali Azmi.
Penjenamaan semula Kelantan City FC daripada Kelantan WTS kini menyaksikan gabungan semula bekas pemain era Treble Kelantan serta khidmat nasihat pengurusan bekas Tokoh Pembangunan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa, dalam usaha mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.