KUALA LUMPUR: Pemain skuasy negara, S. Sivasangari, meneruskan aksi cemerlangnya pada Akhir Jelajah Skuasy PSA 2025-2026 di Paris, selepas menempah tempat ke perlawanan akhir awal pagi ini, sekali gus menjadi pemain wanita Malaysia pertama mara ke pentas final kejohanan itu sejak 2012.
Pemain pilihan keempat itu menewaskan pilihan utama dan bintang Mesir Amina Orfi, 3-1 dalam aksi separuh akhir yang mendebarkan dengan kemenangan 8-11, 11-10, 11-8, 11-10 dalam tempoh 74 minit.
Kejayaan Sivasangari mara ke akhir, turut menamatkan penantian selama 14 tahun buat skuasy wanita Malaysia di kejohanan penutup musim berprestij itu, dengan tiada wakil negara mara ke final sejak 2012.
Menanti beliau pada perlawanan penentuan kejuaraan itu ialah pemain pilihan kedua dari Mesir Hania El Hammamy yang mara selepas menang satu lagi aksi separuh akhir, bagi membolehkan pertembungan perlawanan akhir yang dinanti-nantikan, di ibu negara Perancis itu.
Rekod pertemuan memihak kepada El Hammamy, apabila Sivasangari hanya mencatat dua kemenangan daripada 10 pertemuan mereka sebelum ini.
Dua kemenangan tersebut diraih pada Kejohanan Skuasy Wanita 2017 dan London Squash Classic 2024.
-- BERNAMA