KUALA LUMPUR: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) menyasarkan perseorangan wanita negara, S. Sivasangari dan perseorangan lelaki, Ng Eain Yow mempertahankan pingat emas pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, September ini.
Presidennya, Gerard Monteiro berkata, sasaran itu penting bagi memastikan kedua-dua pemain utama negara berkenaan berada di landasan tepat untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Advertisement
Beliau berkata, pemenang pingat emas Sukan Asia akan layak secara automatik ke Olimpik, justeru Sivasangari dan Eain Yow perlu mempertahankan gelaran masing-masing.
“Sivasangari kini berada di ranking keenam dunia dan kita berharap dia mampu menembusi kelompok empat terbaik dunia dalam masa terdekat, manakala Eain Yow di kedudukan ke-19 dunia,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) 2026 di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia 2026, SRAM bercadang menambah barisan kejurulatihan serta mengadakan kem latihan di luar negara pada Ogos bagi memantapkan lagi prestasi pemain.
Pada edisi Sukan Asia Hangzhou 2022, Malaysia membawa pulang tiga pingat emas menerusi Eain Yow, Sivasangari serta acara berpasukan wanita yang dibarisi Sivasangari, Rachel Arnold, Aifa Azman dan Aira Azman.
-- BERNAMA