Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Sukan Asia 2026: PM Anwar ucap tahniah kepada Adeola hadiahkan emas sulung negara

NAGOYA, 22 Sept - Atlet karate wanita negara Adeola Fay Robert mempamerkan pingat emas pertama Malaysia yang dimenanginya pada aksi final Kumite bawah 55 kilogram (kg) di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Gimnasium Toyohashi, hari ini. Atlet berusia 20 tahun dari Sabah itu menampilkan aksi tenang dan bertenaga untuk menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi 6-4, sekali gus melakar kejayaan bermakna dalam penampilan sulungnya di pentas Sukan Asia. - fotoBERNAMA
Atlet karate wanita negara Adeola Fay Robert mempamerkan pingat emas pertama Malaysia yang dimenanginya pada aksi final Kumite bawah 55 kilogram (kg) di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Gimnasium Toyohashi, hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada atlet karate negara Adeola Fay Robert atas kejayaan menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, hari ini.

Anwar berharap kejayaan atlet berusia 20 tahun dari Sabah itu di Gimnasium Toyohashi mampu membakar semangat seluruh kontinjen negara yang sedang menggalas cabaran pada temasya empat tahun sekali berkenaan.

“Teruskan berjuang dan harumkan nama Malaysia,” katanya menerusi laman X.

Adeola, yang membuat penampilan sulung pada Sukan Asia kali ini, merangkul emas selepas menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi, 6-4 pada final acara kumite bawah 55 kilogram (kg).

Kejayaan itu meneruskan momentum positif atlet berkenaan selepas meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025, Disember tahun lepas.

Pingat emas diraih Adeola hari ini turut menamatkan penantian skuad karate wanita Malaysia untuk merangkul emas Sukan Asia sejak Syakilla Salni melakukannya pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang bermula Sabtu lepas akan berlangsung sehingga 4 Okt ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement