KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung cadangan penangguhan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2026.
Beliau berkata titah baginda yang dizahirkan sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 disifatkan sebagai satu amanat yang mencerminkan keprihatinan tinggi terhadap krisis tenaga global serta impaknya kepada ekonomi negara.
Advertisement
“Saya menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berhubung cadangan penangguhan penganjuran Sukma Selangor 2026.
"Ini merupakan amanat Tuanku atas keprihatinan baginda terhadap krisis tenaga global yang sedang berlaku dan kesannya terhadap ekonomi negara, di samping mengambil kira keperluan untuk menunggu Stadium Shah Alam siap sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Dr Taufiq berkata beliau akan memanggil satu mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2026 bagi membincangkan perkara berkenaan secara terperinci.
Menurutnya, mesyuarat khas itu akan membabitkan semua pemegang taruh termasuk wakil daripada semua negeri, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Pada Isnin, Sultan Sharafuddin menitahkan agar penganjuran temasya sukan dwi-tahunan itu ditangguhkan memandangkan peruntukan yang diperlukan adalah tinggi, selain mengambil kira ketersediaan infrastruktur sukan di negeri berkenaan.
Baginda berpandangan penganjuran tersebut lebih wajar diteruskan hanya selepas krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya, bagi memastikan kelancaran penganjuran serta pengurusan kewangan yang lebih stabil.