SICILY: Puluhan kapal Global Sumud Flotila 2.0 bertindak menghalang kapal kargo Mediterranean Shipping Company (MSC) Maya di perairan antarabangsa yang sedang menuju ke pelabuhan Ashdod dan Haifa di Israel.
Menurut GSF, kapal tersebut difahamkan membawa bahan logam berasaskan aloi besi untuk pembuatan artileri seperti meriam, mortar dan pelancar roket yang digunakan tentera Israel ke atas penduduk Palestin.
Advertisement
“Ini kali pertama dalam sejarah sebuah flotila awam campur tangan untuk mengganggu aliran maritim yang dikaitkan dengan operasi ketenteraan sesebuah negara,” katanya melalui kenyataan yang disiarkan semalam.
Tegasnya, walaupun syarikat komersial tersebut dilihat neutral namun laporan siasatan dan pemantau tenaga kerja telah mengenal pasti corak sistematik untuk membawa bahan tersebut.
Tambahnya, Laut Mediterranean juga sering digunakan untuk membawa bahan persenjataan manakala bantuan kemanusiaan untuk menyelamatkan nyawa orang ramai dihalang secara ganas dan tidak sah.
Jelas GSF, tindakan ini berakar daripada gerakan Boikot, Pelupusan dan Sekatan (BDS) bertujuan untuk memberi tekanan ekonomi secara terancang terhadap negara dan institusi yang terlibat dalam pelanggaran hak rakyat Palestin.
“Tindakan ini bukan hanya tentang sebuah kapal; ia tentang merebut semula laut sebagai ruang untuk keadilan dan kehidupan, bukannya pentas keganasan yang disokong (beberapa) negara,” katanya.
GSF turut mendesak agar pemimpin dunia bertindak menghentikan sebarang urusan berkaitan aktiviti keganasan atau syarikat terbabit berdepan disenaraikan secara terbuka atau mengalami gangguan operasi.
“Jika dunia terus memilih untuk memalingkan muka, kami akan meletakkan diri kami secara langsung di laluan yang mereka cuba hindari,” katanya lagi.
Pada 12 April, GSF 2.0 telah memulakan pelayaran melibatkan 39 buah kapal dari Pelabuhan Catalonia di Sepanyol menuju ke Gaza.
Flotila tersebut kini berada berhampiran perairan Sicily dan bakal berhenti di Catania, Itali sebelum meneruskan pelayaran menuju ke Gaza.
Pada masa sama, pukuhan aktivis pro-Palestin dari Malaysia turut melibatkan pempengaruh, kru kapal dan pengamal perubatan turut terlibat dalam misi kali ini.