Skip to main content

Malaysia

SUKMA: Sabah sasar sekurang-kurangnya 40 pingat emas

FB Hajiji Haji Noor
Hajiji pada majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Sabah ke Temasya SUKMA dan Para SUKMA 2026, hari ini. - Gambar Facebook Hajiji Haji Noor
Advertisement

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor optimis 80 peratus atlet Sabah yang bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor mampu membawa pulang pingat berdasarkan prestasi mereka sepanjang latihan.

Beliau yakin atlet negeri yang menunjukkan semangat tinggi mampu mencapai sasaran 40 pingat emas pada temasya berkenaan.

"Kerajaan negeri menghargai segala pengorbanan yang telah dicurahkan oleh para atlet, jurulatih dan keluarga sepanjang proses persediaan.

"Atas dasar itu, kadar insentif kemenangan telah dinaikkan kepada RM10,000 daripada RM5,000 bagi SUKMA dan Para SUKMA kali ini sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada atlet kita," katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Sabah ke Temasya SUKMA dan Para SUKMA 2026, di sini hari ini.

"Saya menyeru semua kontinjen Sabah supaya melangkah ke Selangor dengan satu hati, satu semangat dan satu matlamat," katanya.

Hajiji juga menggesa para atlet agar berjuang habis-habisan dan merebut setiap peluang bagi membuktikan kemampuan Sabah berdiri bersama-sama negeri terbaik dalam arena sukan.

Terdahulu, Hajiji meluangkan masa menyantuni atlet yang akan mewakili Sabah serta menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam persiapan kontinjen negeri.

Beliau turut mengingatkan atlet supaya menjaga disiplin dan mengelakkan pengambilan bahan terlarang, yang boleh menjejaskan prestasi serta masa depan mereka.

Sabah akan menyertai 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan pada SUKMA yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos menerusi penyertaan 744 atlet.

Bagi Para SUKMA yang dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 11 Sept, Sabah akan mengambil bahagian dalam kesemua 10 acara menerusi 154 atlet dan 117 pegawai, dengan sasaran meraih 66 pingat emas.

Kadar insentif itu turut diberikan kepada atlet Para SUKMA yang memenangi pingat emas, perak dan gangsa pada temasya itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement