Skip to main content

Malaysia

Tidak terburu-buru ke Moto2, Hakim Danish mahu kekal saingan Moto3

SEPANG, 14 Julai -- Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli ketika ditemui media selepas merangkul kejuaraan sulung Moto3 musim ini pada Grand Prix (GP) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Muhammad Hakim Danish mengakui kelas Moto2 menuntut tahap kematangan yang jauh lebih tinggi, terutama dalam mengendalikan jentera lebih besar serta persaingan pelumba lebih agresif. - Gambar fail
Advertisement

PUCHONG: Pelumba sensasi Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli memilih untuk tidak terburu-buru melangkah ke kelas Moto2 sebaliknya cenderung untuk terus kekal  dalam Kejuaraan Dunia Moto3 bagi sekurang-kurangnya semusim lagi.

Keputusan tersebut disuarakan pelumba berusia 18 tahun itu demi memastikan dirinya benar-benar ampuh dari segi mental dan fizikal sebelum mendepani cabaran lebih getir di peringkat lebih tinggi.

“Bagi saya mungkin nak kekal setahun lagi di Moto3, namun apa pun semua saya serahkan kepada  Pengurus ZK Racing Zulfahmi Khairuddin yang akan putuskan apa yang terbaik untuk saya,” katanya ketika ditemui pada majlis penajaan bersama RCB bagi 2026 di sini hari ini.

Muhammad Hakim Danish yang kini beraksi bersama pasukan MT Helmets-MSi mengakui kelas Moto2 menuntut tahap kematangan yang jauh lebih tinggi, terutama dalam mengendalikan jentera lebih besar serta persaingan pelumba lebih agresif.

“Saya nak timba ilmu dulu dalam Moto3 sebab kalau pergi ke Moto2 saingannya lebih mencabar. Banyak perkara lagi yang saya boleh belajar di Moto3 terutama dari segi cara perlumbaan dan kawalan motor yang lebih baik,” katanya. 

Walaupun menyasarkan transisi ke kategori seterusnya menjelang 2028, Muhammad Hakim Danish sedar bahawa “tiket” ke Moto2 bergantung sepenuhnya kepada prestasi konsisten dan keputusan diraihnya sepanjang musim ini.

Anak jati Terengganu itu menegaskan buat masa ini fokus utamanya adalah untuk memburu kejuaraan dunia dengan meletakkan aspek konsistensi sebagai kunci utama.

“Sudah tentu saya mahu memburu kejuaraan dunia tetapi terlebih dahulu saya perlu konsisten pada setiap perlumbaan untuk pastikan podium dan cuba untuk menang, insya-Allah dari situ kejuaraan akan dapat diraih,” katanya. 

Terdahulu, RCB memberi sebanyak RM6,000 yang disalurkan ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) Hakim Danish atas kejayaannya sebelum ini. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement