Skip to main content

Malaysia

Wooi Yik pertimbang hala tuju, Aaron tekad buru emas Olimpik

SEPANG, 25 Ogos –- Beregu badminton lelaki negara Aaron Chia Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik ditemu bual pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.  Aaron dan Wooi Yik tiba di tanah air selepas menjadi naib juara di Kejohanan Badminton Dunia 2026 yang berlangsung di New Delhi, India.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Aaron (kanan) dan Wooi Yik ditemu bual pemberita sebaik tiba di KLIA hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

SEPANG: Pemain beregu lelaki negara Soh Wooi Yik bersedia berbincang dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai hala tuju masa depannya, termasuk memperincikan perancangan kerjaya dalam usaha memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.

Wooi Yik berkata tumpuan utamanya ketika ini ialah meneliti pelan yang akan dibincangkan bersama dengan badan induk itu sebelum membuat sebarang keputusan mengenai statusnya dalam skuad kebangsaan.

“Saya tidak tahu sama ada akan kekal atau meninggalkan BAM. Kita lihat dahulu perancangan BAM. 

“Sudah tentu saya dan Aaron Chia berharap untuk kekal, tetapi jika perancangan itu tidak dipersetujui, kami akan berbincang semula mengenai langkah seterusnya,” katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari New Delhi, India, hari ini.

Wooi Yik yang kini berusia 28 tahun berkata bagi tempoh dua tahun akan datang, faktor usia dan tempoh kerjaya yang semakin matang menuntutnya untuk lebih teliti mengenai masa depan bersama dengan gandingannya.

“Karier saya sebagai pemain tidak panjang lagi, jadi perlu mempertimbangkan sebarang keputusan sekiranya berlaku perubahan dan dalam tempoh dua tahun ini, saya akan membuat keputusan yang terbaik,” katanya.

Pada Kejohanan Badminton Dunia 2026 baru-baru ini, gandingan nombor empat dunia itu terpaksa berpuas hati selaku naib juara selepas tewas kepada pasangan China Liang Wei Keng-Wang Chang dengan keputusan 17-21, 16-21.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai ketiadaan namanya dalam senarai ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Wooi Yik mengakui hanya mengetahui perkara tersebut pada saat akhir namun berlapang dada dengan keputusan berkenaan.

"Saya hanya tahu perkara ini pada saat akhir dan ia tidak dibincangkan terlebih dahulu. Sebagai pemain senior, saya boleh menerima keputusan itu kerana semua orang berpeluang untuk bermain dan saya tidak kisah siapa yang diturunkan.

“Dalam beberapa bulan ini memang banyak pertukaran berlaku. Sebab itu saya cakap akan membuat keputusan mengenai masa depan yang akan dibincangkan dahulu dengan jurulatih,” katanya.

Sementara itu, Aaron menegaskan misi peribadinya tetap fokus untuk melengkapkan koleksi pingat emas Olimpik, namun sedia mengikut strategi barisan kejurulatihan buat masa ini.

"Saya rasa kalau perancangan akhir jurulatih untuk mengekalkan semua pasangan asal bagi menghadapi edisi Los Angeles, saya tiada masalah dengan keputusan itu. Kami berdua masih mempunyai sasaran untuk beraksi di Olimpik dan sudah tentu berharap dapat memenangi pingat emas sebagai kemuncak karier kami,” katanya.

Aaron berkata mereka akan sekali lagi melalui fasa digandingkan dengan pemain lain bagi menghadapi Masters China di Shenzhen pada 1 hingga 6 Sept dan siri jelajah Eropah akan datang.

"Kalau ikut perancangan jurulatih, di Shenzhen dan Eropah nanti kami akan bertukar pasangan. Tetapi kami akan terus berbincang dengan jurulatih dan hala tuju seterusnya.

“Saya rasa pasangan asal mungkin lebih serasi kerana sudah lama bersama, tetapi mungkin jurulatih mahu melihat prestasi setiap pemain apabila digandingkan dengan pasangan lain," katanya. 

Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik ialah juara dunia pertama Malaysia pada 2022 dan pemenang pingat gangsa berturut-turut pada edisi Sukan Olimpik Tokyo 2020 serta Paris 2024.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement