Skip to main content

Malaysia

Zii Jia dedah detik paling sukar, mahu kembali nikmati badminton

51743227509_tbLeeZiiJia.jpg
Menurut Zii Jia, sejak meninggalkan skuad kebangsaan pada Januari 2022, beliau menyerahkan banyak aspek kehidupan dan kerjayanya kepada individu yang dipercayainya. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemain badminton profesional bebas, Lee Zii Jia hari ini membuka cerita mengenai perjuangan yang dilaluinya sepanjang setahun lalu.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu berkata, beliau mengambil masa yang lama sebelum mempunyai keberanian untuk berkongsi pengalaman tersebut kepada umum.

Menurut Zii Jia, sejak meninggalkan skuad kebangsaan pada Januari 2022, beliau menyerahkan banyak aspek kehidupan dan kerjayanya kepada individu yang dipercayainya.

"Pada waktu itu, saya merasakan selagi saya dapat memberi tumpuan kepada latihan dan pertandingan, mempunyai orang yang membantu menguruskan perkara-perkara lain adalah sesuatu yang patut saya syukuri.

"Saya tidak banyak mempersoalkannya kerana fokus saya sentiasa kepada badminton, dan saya sentiasa percaya bahawa kepercayaan sepatutnya menjadi asas kepada setiap hubungan," katanya menerusi hantaran di Instagram hari ini.

Namun jelasnya, keadaan mula berubah apabila beliau berdepan kecederaan, prestasi yang tidak menentu dan berada pada tahap mental paling rendah dalam kariernya.

Beliau berkata, ketika itu beliau mula menyedari banyak perkara sebenarnya tidak seperti yang disangkakan.

"Saya berasa cemas, keliru dan sejujurnya benar-benar hilang arah. Tidak ramai orang di sekeliling saya yang benar-benar boleh menjadi tempat untuk saya meluahkan perasaan.

“Ketika itu, saya sedar saya bukan sahaja bergelut dengan kecederaan dan prestasi, malah turut dibelenggu rasa tidak berdaya yang telah lama terbina," katanya.

Beliau berkata pengalaman itu membuatkannya sedar bahawa beliau mahu mengambil semula kawalan terhadap kehidupan dan kerjayanya.

"Apa yang saya mahukan sebenarnya sangat mudah. Saya mahu mengambil semula kawalan terhadap kehidupan dan kerjaya saya. 

“Saya mahu menentukan sendiri siapa yang berada di sekeliling saya dan mewujudkan persekitaran yang terbaik untuk diri saya," jelasnya.

Mengakhiri perkongsian itu, Zii Jia berkata matlamatnya kini cukup mudah, iaitu kembali menikmati badminton.

"Saya hanya mahu bermain dan menikmati permainan ini semula," katanya lagi.

Sejak beralih sebagai pemain profesional bebas, Zii Jia terus mewakili Malaysia di pentas antarabangsa dengan meraih beberapa kejuaraan Jelajah Dunia Badminton World Federation (BWF).

Bagaimanapun, musim 2026 menyaksikan pemain berusia 28 tahun itu masih berusaha mendapatkan semula rentak terbaik selepas dibelenggu kecederaan. 

Setakat musim ini, pencapaian terbaik Zii Jia ialah mara ke separuh akhir Terbuka Kanada sebelum langkahnya disekat pemain Jepun, Koki Watanabe, dalam aksi tiga set.


 

Must Watch Video

Advertisement