MADRID: Nasib menyebelahi pendahulu kejuaraan Kimi Antonelli daripada pasukan Mercedes untuk memenangi perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Sepanyol pada Ahad di litar baharu Madrid, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Dalam permulaan yang huru-hara, Antonelli mengatasi pemegang petak utama Lando Norris sebanyak dua kali, namun terkeluar dari litar dan terpaksa menyerahkan semula kedudukannya dalam kedua-dua percubaan berkenaan untuk membolehkan pemandu McLaren itu kekal memimpin perlumbaan.
Sementara itu, Antonelli kehilangan tempat kedua kepada pemandu Red Bull, Max Verstappen ketika memulangkan semula kedudukan pendahulu kepada Norris buat kali kedua.
Bagaimanapun, Verstappen didapati mendapat kelebihan kerana memotong laluan di selekoh pada permulaan perlumbaan bagi mengelak perlanggaran dengan pemandu Ferrari, Lewis Hamilton. Pemandu dari Belanda itu terpaksa menyerahkan semula kedudukan kepada Hamilton, namun pada masa sama beliau turut dipotong oleh Antonelli dan jatuh ke tangga keempat.
Sebaik sahaja situasi berkenaan terkawal, Norris kekal mendahului di hadapan Antonelli dan Hamilton, sebelum Hamilton terpaksa menarik diri pada pusingan ketujuh berikutan masalah brek. Namun, juara bertahan F1 itu menyaksikan perlumbaannya berubah menjadi lebih buruk pada pusingan ke-15.
Kereta keselamatan maya (VSC) dipanggil selepas Lance Stroll menghentikan jentera Aston Martin milik beliau akibat masalah teknikal.
Norris sudah pun melepasi laluan masuk hentian pit, manakala Antonelli dan Verstappen sempat masuk ke pit semasa VSC berkuat kuasa, sementara Charles Leclerc daripada Ferrari memilih untuk kekal di litar dan mengambil alih sebagai pendahulu.
Norris hanya dapat membuat hentian pit untuk menukar tayar baharu pada penghujung pusingan berkenaan apabila tempoh VSC sudah berakhir. Keadaan menjadi lebih buruk apabila hentian pit beliau berjalan lambat, menyebabkan beliau kembali ke litar di kedudukan kelima.
Di barisan hadapan, Leclerc mengguna pakai strategi satu hentian pit. Menyedari hakikat itu, Antonelli dan Verstappen hanya perlu mengawal penggunaan tayar mereka serta mengelakkan sebarang kemungkinan kemalangan.
Leclerc akhirnya masuk ke pit pada pusingan ke-49, sekali gus menyerahkan kedudukan pendahulu dan kemenangan kepada Antonelli. Verstappen menduduki tempat kedua, manakala Norris bangkit untuk sekurang-kurangnya menamatkan perlumbaan di pentas pemenang di tempat ketiga.
-- BERNAMA-dpa