Skip to main content

Sukan

Arab Saudi akhiri penantian 22 tahun, julang Piala Teluk di bumi sendiri

Arab Saudi menamatkan penantian selama 22 tahun untuk kembali menjulang Piala Teluk selepas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-0 dalam aksi final edisi ke-27 kejohanan itu pada Selasa. - Gambar Reuters
Arab Saudi menamatkan penantian selama 22 tahun untuk kembali menjulang Piala Teluk selepas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-0 dalam aksi final edisi ke-27 kejohanan itu pada Selasa. - Gambar Reuters

Advertisement

JEDDAH: Arab Saudi menamatkan penantian selama 22 tahun untuk kembali menjulang Piala Teluk selepas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-0 dalam aksi final edisi ke-27 kejohanan itu pada Selasa.

Sorakan gemuruh lebih 50,000 penyokong di Stadium Bandar Sukan Raja Abdullah tercetus seawal minit ke-11 apabila pemain sayap Hammam Al Hammami meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi rembatan yang terkena pertahanan lawan sebelum menerjah gawang.

Anak buah Georgios Donis terus mempamerkan aksi cemerlang apabila Feras Al Brikan menggandakan kelebihan hanya dua minit kemudian menerusi penyudah jarak dekat.

Arab Saudi hampir menambah jaringan ketiga apabila Saleh Abu Alshamat, yang diturunkan bersama adiknya Mohammed dalam kesebelasan utama, melakukan percubaan yang sekadar singgah di palang gol.

UAE berpeluang merapatkan jurang selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-38, namun keputusan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Memasuki babak kedua, penjaga gol Arab Saudi, Mohamed Al Owais, tampil cemerlang menafikan percubaan Sultan Adil dari jarak dekat.

UAE terus mencari gol kebangkitan, namun percubaan penyerang naturalisasi mereka, Fabio Lima, yang terkena palang pada minit ke-88 memadamkan harapan pasukan itu untuk bangkit.

Kejayaan itu turut menyaksikan Arab Saudi mengekalkan rekod tanpa bolos sepanjang kejohanan.

Kemenangan tersebut menghadiahkan kejuaraan Piala Teluk keempat buat Arab Saudi dan yang pertama sejak kali terakhir memenanginya pada tahun 2004. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement