KUALA LUMPUR: Pasangan beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani memiliki potensi untuk menjuarai Kejohanan Badminton Dunia 2026 di New Delhi, India dari 17 hingga 23 Ogos.
Legenda badminton negara Datuk Razif Sidek berkata peningkatan ketara dipamerkan pasangan ketujuh dunia itu, termasuk mencipta sensasi menamatkan kemarau 18 tahun Malaysia menjuarai Terbuka Indonesia 2026 di Istora Senayan, Jakarta semalam membuktikan mereka mampu bergelar juara dunia.
Sze Fei-Nur Izzuddin muncul juara selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan wakil tuan rumah Raymond Indra-Nikolaus Joaquin 13-21, 21-18, 21-10 dalam masa 49 minit.
Razif yang pernah menjuarai Terbuka Indonesia bersama adiknya Datuk Seri Jalani Sidek pada 1988 dan 1990 berkata kejayaan semalam membuktikan kekentalan mental Sze Fei-Nur Izzuddin menyerap tekanan tinggi di sebalik sorakan padu penyokong tuan rumah pada saingan Super 1000 di lokasi ikonik berkenaan.
Bukan itu sahaja, Razif berkata pencapaian menumbangkan pilihan utama dan juara bertahan dari Korea Selatan Kim Won Ho-Seo Seung Jae 21-18, 17-21, 21-16 pada separuh akhir memberi isyarat mereka layak bergelar pencabar utama pada Kejohanan Dunia tahun ini.
“Sejak empat kejohanan terakhir, saya lihat kemajuan, strategi dan tahap keyakinan mereka semakin meningkat serta mereka berjaya melakukan tepat pada masanya.
“Jadi, ia sukar dipercayai, tak sangka mereka main begitu baik sepanjang Terbuka Indonesia. saya harap mereka dapat mengekalkan (prestasi). Sudah tentu ada peluang dan harap mereka berjaya pada Kejohanan Dunia kali ini,” katanya kepada Bernama.
Razif juga mengakui tekanan beraksi pada Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bertaraf Super 1000 seperti Terbuka Indonesia adalah tinggi berbanding Kejohanan Dunia.
Beliau berkata Kejohanan Super 1000 menawarkan ganjaran wang tunai lumayan manakala Kejohanan Dunia pula menawarkan pingat dan mata ranking dunia tinggi.
“Tidak mudah untuk menang di Indonesia apatah lagi beraksi di stadium Istora Senayan dan kemudian terus mengibarkan bendera Malaysia. Kita semua harus berbangga dengan kejayaan mereka,” katanya.
Kemenangan Sze Fei-Nur Izzuddin menyaksikan Malaysia kembali menawan gelaran beregu lelaki Terbuka Indonesia buat kali pertama sejak Zakry Abdul Latif-Fairuzizuan Tazari melakukannya pada edisi 2008.
Selaku juara dan merangkul gelaran terbesar mereka musim ini, Sze Fei-Izzuddin membawa pulang hadiah wang tunai AS$107,300 (RM432,365) manakala pemain tuan rumah pula menerima AS$50,750 (RM204,533).
Pencapaian semalam adalah kejayaan kedua Sze Fei-Nur Izzuddin di Istora Senayan tahun ini selepas mendakap gelaran Indonesia Masters 2026 dengan menewaskan lawan sama 21-19, 21-13 pada Januari lepas.
Bulan lepas, Sze Fei-Nur Izzuddin muncul naib juara Malaysia Masters 2026 selepas kecundang kepada Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark 16-21, 17-21.
-- BERNAMA