KUALA LUMPUR: Atlet pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee menamatkan saingan acara 100 meter (m) lelaki di kedudukan kelapan pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2026 di Oregon, Amerika Syarikat, semalam.
Pada perlumbaan akhir, pelari berusia 19 tahun itu mencatat masa 10.44 saat (s) untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua terakhir.
Pingat emas dimenangi pelari tuan rumah, Tate Taylor yang muncul satu-satunya atlet mencatat masa di bawah 10 saat dengan catatan 9.94s.
Pingat perak menjadi milik pelari Jamaica, Gary Card dengan catatan 10.15s, manakala gangsa diraih Marko Fereira dari Afrika Selatan selepas merekodkan masa 10.16s.
Terdahulu, Danish Iftikhar muncul pelari pecut kedua Malaysia yang layak ke final acara 100m pada Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia.
Muhammad Azeem Mohd Fahmi merupakan pelari pecut pertama Malaysia yang mara ke final acara 100m pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia apabila menamatkan saingan di tempat kelima dengan catatan 10.14s di Cali, Colombia pada 2022.
Ketika itu berusia 18 tahun, Muhammad Azeem turut mencipta rekod kebangsaan baharu acara 100m selepas mencatat masa 10.09s pada saringan.
-- BERNAMA