Skip to main content

Sukan

Era Messi berakhir, Argentina bersedia ucap selamat tinggal kepada legenda

Lionel Messi menjalani sesi latihan menjelang perlawanan terakhirnya bersama skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Benin, di Buenos Aires, Argentina, pada Isnin, 5 Oktober 2026. - Gambar AP
Lionel Messi menjalani sesi latihan menjelang perlawanan terakhirnya bersama skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Benin, di Buenos Aires, Argentina, pada Isnin, 5 Oktober 2026. - Gambar AP

Advertisement

BUENOS AIRES: Era gemilang Lionel Messi bersama Argentina melabuhkan tirainya pada Selasa apabila legenda bola sepak dunia itu dijadual mengharungi penampilan terakhirnya bersama skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan menentang Benin.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Monumental, Buenos Aires itu dijangka menjadi malam penuh emosi buat lebih 85,000 penyokong yang hadir untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pemain yang dianggap antara terbaik dalam sejarah sukan tersebut.

Messi, 39, bakal menamatkan karier antarabangsa yang menjangkau 21 tahun selepas mengumumkan persaraannya pada Ogos lalu, kira-kira dua bulan selepas Argentina tewas kepada Sepanyol dalam final Piala Dunia.

“Saya sudah memberikan segala-galanya. Tiada apa lagi yang tinggal untuk diberikan. Selain itu, terdapat ramai pemain muda berbakat yang layak mendapat peluang mereka,” tulis Messi ketika mengumumkan persaraannya.

Pada Isnin, beliau menjalani sesi latihan terakhir bersama skuad kebangsaan di kompleks latihan di Ezeiza yang dinamakan sempena dirinya, dengan ratusan penyokong turut berkumpul bagi menyaksikan detik bersejarah itu.

“Messi sudah memberikan segala-galanya untuk negara ini. Saya tidak kecewa dengan keputusannya. Dia layak menikmati kehidupannya dan berehat,” kata seorang penyokong, Cecilia Adriano.

Sebelum sepak mula, Universiti Buenos Aires juga dijangka menganugerahkan doktor falsafah kehormat kepada bekas kapten Argentina itu sebagai penghargaan terhadap sumbangannya kepada negara dan dunia sukan.

Walaupun masih mempunyai kontrak bersama Inter Miami sehingga 2028, Messi sebelum ini mendedahkan kemungkinan untuk menamatkan karier profesionalnya lebih awal susulan kematian bapanya, Jorge Messi, dua bulan lalu.

Tinggalkan kekosongan besar

Argentina tidak berkompromi dalam merancang majlis perpisahan buat pemain yang membawa negara itu mencapai pelbagai kejayaan sepanjang dua dekad lalu.

Antara rakan sepasukan yang membantu Messi menjulang Piala Dunia 2022 dan dijangka menjadi tunjang pasukan selepas era beliau ialah Cristian Romero, Alexis Mac Allister, Enzo Fernandez, Julian Alvarez dan Lautaro Martinez.

Selepas perlawanan berakhir, lilitan kapten pasukan dijangka diserahkan kepada Romero.

Ketua jurulatih Lionel Scaloni mengakui, Argentina perlu mencari jalan untuk mengisi “kekosongan besar” yang bakal ditinggalkan Messi, namun percaya generasi baharu mempunyai potensi untuk meneruskan legasi tersebut.

Petanda positif sudah mula kelihatan apabila Argentina membelasah Bolivia 4-0 dalam aksi persahabatan minggu lalu sebelum menang besar 7-0 ke atas Burkina Faso.

Dua bakat muda, Franco Mastantuono dan Gianluca Prestianni, turut mencuri tumpuan apabila masing-masing menjaringkan gol antarabangsa pertama mereka dalam kemenangan itu.

Pewaris Maradona

Messi meninggalkan skuad kebangsaan sebagai pemain paling banyak membuat penampilan buat Argentina dengan 207 caps serta rekod 125 gol dan 68 bantuan jaringan.

Beliau mengukuhkan status sebagai legenda negara apabila memimpin Argentina menamatkan kemarau 36 tahun kejuaraan Piala Dunia menerusi kejayaan di Qatar 2022, sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai pewaris sah ikon bola sepak negara, Diego Maradona.

Selain Piala Dunia, Messi turut membantu Argentina meraih gelaran juara dunia bawah 20 tahun pada 2005, pingat emas Olimpik 2008, Copa America 2021 dan 2024 serta Finalissima 2022.

Namun perjalanan gemilang itu turut disulami episod duka termasuk kekalahan kepada Jerman dalam final Piala Dunia 2014, tewas kepada Sepanyol dalam final Piala Dunia tahun ini dan kekalahan menerusi penentuan penalti kepada Chile dalam final Copa America 2016.

Satu persoalan yang masih belum terjawab ialah siapakah yang bakal mewarisi jersi keramat nombor 10 selepas ketiadaan Messi.

“Sehingga perlawanan terakhir Leo berakhir, kami tidak akan memberikan jersi nombor 10 kepada sesiapa,” kata Scaloni.

“Selepas itu, barulah kami akan membuat keputusan.” - Agensi

Must Watch Video

Advertisement