GLASGOW: Pemain nombor satu dunia Emma Firyana Saroji terpaksa menelan kepahitan apabila gagal membawa pulang pingat selepas tewas dalam perlawanan penentuan pingat gangsa singles wanita pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 di sini pada Ahad.
Pada aksi di Scottish Event Campus itu, Emma Firyana tewas 0-2 kepada pemain Norfolk Island Shae Wilson, sekali gus menamatkan cabarannya di tempat keempat.
“Sebenarnya, permainan saya agak baik cuma mungkin pada penghujung permainan, balingan saya tidak konsisten. Saya juga gagal menambah mata ketika mempunyai peluang. Entahlah, memang tidak menjadi.
“Saya tidak memikirkan tentang rakan-rakan lain yang sudah memenangi pingat atau saya yang masih belum mendapat pingat. Apa yang saya fikirkan tadi hanyalah mahu menang untuk diri sendiri,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan itu.
Di sebalik keputusan yang mengecewakan itu, atlet berusia 39 tahun berkenaan kekal bersemangat untuk meneruskan perjuangan mengharumkan nama negara.
“Sebelum ini pun ada pihak yang bertanya sama ada saya mahu bersara tetapi saya merasakan saya masih mampu memberikan saingan kepada pemain-pemain lain, insya-Allah,” katanya.
Sebagai rekod, Emma Firyana pernah memenangi pingat emas acara pairs wanita pada edisi di Gold Coast 2018 serta meraih pingat perak dalam acara fours wanita pada edisi di Glasgow 2014.
Sementara itu, skuad boling padang negara berjaya melepasi sasaran dua pingat tanpa mengira warna apabila gandingan Amirul Danial Abdul Rahim-Mohammad Soufi Rusli meraih gangsa dalam acara pairs lelaki selepas menewaskan John Bezear-Ryan Bester dari Kanada pada aksi penentuan tempat ketiga.
Satu lagi pingat bonus hadir menerusi acara para apabila pasangan Norazian Daud-Jariah Zakaria menewaskan gandingan Mary Wilson-Pauline Wilson dari Scotland dalam penentuan pingat gangsa pairs wanita B6-B8.
Kejayaan dilakar Norazian-Jariah itu menamatkan penantian 24 tahun skuad para boling padang negara untuk kembali meraih pingat pada Sukan Komanwel sejak kali terakhir merangkul gangsa pada edisi di Manchester 2002.
“Kami rasa terharu dan bangga kerana dapat sumbang pingat untuk Malaysia sebab kami baru digandingkan lebih kurang dua tahun. Ini akan jadi pengalaman yang sangat baik untuk kami teruskan perjuangan selepas ini,” kata Jariah.
Terdahulu, Malaysia meraih dua pingat perak masing-masing menerusi Izzat Shameer Dzulkeple dalam acara singles lelaki dan Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dalam saingan pairs wanita.
Pencapaian Izzat Shameer turut mencipta sejarah apabila muncul pemain boling padang lelaki pertama negara memenangi pingat dalam acara singles lelaki pada Sukan Komanwel.
Secara keseluruhan, skuad boling padang negara menutup kempen dengan dua perak dan dua gangsa, sekali gus mengatasi pencapaian pada edisi di Birmingham 2022.
-- BERNAMA