GEORGE TOWN: Penang FC akhirnya menamatkan penantian untuk meraih kemenangan pertama Liga Super musim ini selepas menewaskan Kelantan Red Warriors FC (KRW) 3-2 dalam aksi dramatik di Stadium Bandaraya di sini, petang semalam.
Jaringan kapten Stefano Brundo pada masa kecederaan, minit ke-96, memastikan tiga mata penuh menjadi milik Harimau Kumbang, sekali gus mencetuskan sorakan penyokong tuan rumah yang setia bertahan hingga wisel penamat meskipun dalam cuaca hujan.
Beraksi di laman sendiri, Penang FC membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi Gayoso Javier Augustine.
Gol itu tercipta selepas rembatan Bakhtiyor Muzaffar Ugli Kosimov gagal ditangkap kemas penjaga gol KRW Amin Faisal Mohd Saidi sebelum bola pantas disambar Gayoso untuk meletakkan tuan rumah di hadapan.
Penang FC terpaksa melakukan pertukaran penjaga gol pada minit ke-19 apabila Mohd Khairulazhan Mohd Khalid mengalami kecederaan dan digantikan Noor Hakeem Hamidun.
Kesilapan benteng pertahanan pelawat pada minit ke-35 hampir memberi ruang kepada Celestine Enzo Nicolas Jacques untuk menggandakan kelebihan Penang FC, namun percubaannya berjaya diselamatkan Amin Faisal.
Bagaimanapun, kelekaan benteng pertahanan tuan rumah dihukum pada masa kecederaan babak pertama apabila lorongan Musa Philip Dandada menemui Muhammad Mazwan Che Mat yang tidak dikawal sebelum beliau tenang menyudahkan peluang untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Memasuki babak kedua, Gayoso mensia-siakan peluang untuk kembali meletakkan Penang FC di hadapan pada minit ke-48 apabila rembatannya di depan pintu gol selepas menerima hantaran Celestine melambung tinggi.
Celestine kemudian menceriakan kem tuan rumah pada minit ke-52 apabila menyudahkan hantaran Daniel Asyraf menerusi rembatan yang menewaskan Amin Faisal untuk memberikan Penang FC kelebihan 2-1.
Skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail hampir menambah jaringan lapan minit kemudian menerusi percubaan pemain gantian Mohamad Khala’if Mohd Naskam, namun bola sekadar singgah di tiang.
KRW kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-62 menerusi sepakan percuma Emmanuel yang gagal diselamatkan Noor Hakeem, menjadikan kedudukan 2-2.
Kedua-dua pasukan kemudian saling mengasak dan mencipta beberapa peluang sebelum Stefano muncul wira Penang FC apabila menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-96 untuk memastikan tuan rumah mencipta kemenangan sulung selepas empat perlawanan.
-- BERNAMA