SUNGAI PETANI: Jerebu yang melanda negara pada masa ini tidak menjejaskan persediaan atlet menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 19 Sept hingga 3 Okt ini di Jepun.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, terdapat garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan persiapan atlet tidak terganggu selain memastikan aspek kesihatan mereka terjamin.
"Kita sudah berbincang dalam mesyuarat Kabinet berkenaan dengan jerebu yang semakin tinggi dan tahap jerebu itu akan dipantau dari semasa ke semasa.
"Kita jadikan hal itu sebagai panduan, malah kita turut berbincang dengan Institut Sukan Negara (ISN) untuk pastikan bahawa persiapan atlet tidak terjejas, tetapi dalam masa yang sama kita nak pastikan kesihatan atlet juga terjamin," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengikuti konvoi merdeka bersempena dengan Program Jelajah Sungai Petani bersama dengan Menteri Belia dan Sukan, di sini, semalam.
Mohammed Taufiq berkata, aktiviti latihan di kawasan terbuka juga akan dikurangkan dan kebanyakan latihan akan dibuat di kawasan tertutup.
Sementara itu, katanya, aktiviti konvoi bermotosikal selama kira-kira tiga jam itu bergerak bermula dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sidam, menuju ke Pantai Merdeka dan berakhir di Bakar Arang.
"Hampir 400 peserta menyertai aktiviti ini dan di setiap tempat yang kita singgah, kita turut menyantuni masyarakat setempat dan mengedarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat," katanya.
-- BERNAMA