Skip to main content

Sukan

'Kami berharap dia teruskan' - Harnizam tagih aksi Azizul di Sukan Asia

'Kami berharap dia teruskan', itu harapan Ketua Jurulatih Berbasikal Trek Kebangsaan, Harnizam Basri, berhubung masa depan Datuk Azizulhasni Awang yang dikatakan berkemungkinan tidak bersama skuad negara untuk menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Sekiranya Azizulhasni tidak dapat meneruskan cabaran bersama skuad negara, Harnizam menegaskan pelumba lain perlu bersedia memikul tanggungjawab lebih besar. - StadiumAstro
Advertisement

'KAMI berharap dia teruskan', itu harapan Ketua Jurulatih Berbasikal Trek Kebangsaan, Harnizam Basri, berhubung masa depan Datuk Azizulhasni Awang yang dikatakan berkemungkinan tidak bersama skuad negara untuk menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Walaupun wujud khabar angin mengenai situasi pelumba berpengalaman itu, Harnizam menganggap kehadiran Azizulhasni amat diperlukan bagi membantu memacu skuad berbasikal trek negara di pentas Asia.

Menurutnya, pengalaman serta kepakaran yang dimiliki Azizulhasni mampu menjadi aset penting kepada barisan pelumba negara ketika berdepan cabaran di Jepun.

Namun, sekiranya Azizulhasni tidak dapat meneruskan cabaran bersama skuad negara, Harnizam menegaskan pelumba lain perlu bersedia memikul tanggungjawab lebih besar.

Keadaan itu secara tidak langsung memberi peluang kepada generasi pelapis untuk tampil ke hadapan dan membuktikan kemampuan masing-masing dalam temasya sukan terbesar Asia itu.

"Setakat rancangannya, dia akan ke Sukan Asia. Tiketnya telah pun dijamin. Tetapi kita tidak tahu apa yang mungkin berlaku pada akhirnya," kata Harnizam.

“Pelan B memang sentiasa ada. Kita tengoklah dari semasa ke semasa. Kalau dia tidak dapat bersama pasukan, kita kena teruskan juga. Mungkin Shah (Muhammad Shah Firdaus Sahrom) kena memikul tanggungjawab lebih besar."

Dalam perkembangan sama, pelumba trek kebangsaan, Nurul Aliana Syafika Azizan, memasang tekad untuk kembali ke prestasi terbaik selepas melalui tempoh sukar akibat siri kecederaan sebelum ini.

Aliana mengakui bukan mudah untuk mengejar tahap kecergasan dan prestasi rakan sepasukan selepas ketinggalan akibat masalah kecederaan, lebih-lebih lagi apabila saingan di Sukan Asia menuntut persediaan pada tahap tertinggi.

Namun, peluang yang diberikan Harnizam untuk kembali memperkuatkan skuad kebangsaan tidak mahu disia-siakan.

Bagi Aliana, sasaran peribadinya cukup jelas — melakukan yang terbaik untuk bersaing dan pada masa sama membantu rakan sepasukan membawa cabaran Malaysia di Jepun.

Selepas melalui tempoh pemulihan yang panjang, Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 kini menjadi medan penting buat Aliana untuk membuktikan bahawa dirinya masih mampu bersaing di pentas tertinggi.

Must Watch Video

Advertisement