Skip to main content

Sukan

"Kami sentiasa sokong Azizulhasni" - MSN jawab dakwaan abaikan The Pocket Rocketman

SEPANG, 4 Ogos --Jaguh berbasikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, menunjukkan pingat emas yang dimenanginya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas mengharumkan nama negara pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Majlis Sukan Negara (MSN) menegaskan komitmennya untuk terus menyokong Azizulhasni Awang dan segala perancangan yang dirangka juara berbasikal trek negara itu menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028. - Gambar fail/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) menegaskan komitmennya untuk terus menyokong Datuk Azizulhasni Awang dan segala perancangan yang dirangka juara berbasikal trek negara itu menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, MSN memaklumkan, pendirian tersebut telah disampaikan kepada Azizulhasni menerusi beberapa siri pertemuan yang diadakan sebelum dan selepas temasya Sukan Komanwel Glasgow, membabitkan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin serta pegawai kanan badan itu.

Menurut MSN, perbincangan berhubung laluan kelayakan Olimpik turut diadakan bersama Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada 7 Julai lalu, termasuk membincangkan keperluan Azizulhasni sebagai tonggak utama negara untuk mengumpul mata kelayakan ke Olimpik.

Malah, kata MSN, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan MSN dilaporkan sentiasa mengikuti perkembangan dan perancangan atlet berusia 38 tahun itu, termasuk ketika sambutan kepulangan kontinjen Malaysia dari Sukan Komanwel baru-baru ini.

MSN menjelaskan pada pertemuan yang berlangsung pada 13 Ogos lalu bersama Ketua Program Road to Gold (RTG), Akmal Ahmad Zainuddin; Ketua Program Podium, Halif Asro Ramzi Sulaiman dan wakil Institut Sukan Negara (ISN), Azizulhasni memaklumkan, beliau sudah mula merancang program menuju Olimpik 2028 namun belum memuktamadkannya.

Dalam pertemuan itu, Azizulhasni antara lain mengemukakan beberapa keperluan termasuk sokongan tambahan dalam aspek sains sukan dan perubatan, penggunaan berterusan fasiliti MSN serta ISN, selain cadangan program latihan secara hibrid di Kuala Lumpur dan Melbourne, Australia.

Menurut MSN juga, semua permohonan berkenaan telah mendapat persetujuan prinsip daripada pihaknya, termasuk beberapa lagi permintaan tambahan yang dikemukakan pelumba kelahiran Terengganu itu.

"Pertemuan itu turut memperkukuhkan lagi sokongan MSN kepada Datuk Azizulhasni dan cadangan pemberian geran kepadanya akan diteruskan seperti amalan sebelum ini," menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, MSN turut bersetuju menanggung penyertaan atlet berkenaan secara berpasukan ke kejohanan utama termasuk Kejohanan Berbasikal Asia dan Kejohanan Berbasikal Dunia.

Badan itu turut memaklumkan, isu berkaitan sokongan kepada Azizulhasni telah dibawa oleh Menteri Belia dan Sukan ke mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN pada 13 Ogos lalu dan mendapat persetujuan penuh ahli lembaga.

Bagi memuktamadkan perancangan tersebut, MSN memaklumkan, satu e-mel telah dihantar kepada Azizulhasni pada 27 Ogos lalu bagi mendapatkan pelan lengkap program menuju Olimpik Los Angeles 2028.

Pelan berkenaan meliputi aspek latihan dan pertandingan, sasaran prestasi, laluan kelayakan Olimpik, pembahagian fasa latihan antara Kuala Lumpur dan Melbourne, keperluan jurulatih serta pasukan sokongan, kemudahan sains sukan dan perubatan, selain anggaran perbelanjaan tahunan.

MSN menjelaskan, hanya selepas menerima perancangan lengkap itu, pihaknya dapat melaksanakan proses berkaitan peruntukan dan sokongan kewangan sepanjang kempen kelayakan Olimpik.

Dalam kenyataan sama, MSN melahirkan rasa terkejut terhadap kenyataan jurulatih Azizulhasni, John Beasley, yang mendakwa tiada sebarang perbincangan mengenai perancangan masa depan pelumba berkenaan dilakukan.

Menurut MSN, dakwaan itu tidak tepat kerana pelbagai sesi pertemuan telah diadakan dan Azizulhasni sendiri bersetuju agar sebarang pengumuman rasmi mengenai program latihan ke Olimpik 2028 dibuat secara bersama antara beliau dan MSN selepas Kejohanan Berbasikal Dunia di Shanghai, China, pada Oktober depan.

MSN berkata, pendekatan itu dipersetujui bagi memastikan fokus dan persiapan Azizulhasni tidak terganggu menjelang Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

Sehubungan itu, MSN menegaskan dakwaan bahawa badan itu tidak menghiraukan perancangan atau gagal menghargai jasa Azizulhasni adalah tidak bertanggungjawab kerana komitmen serta sokongan kepada ikon berbasikal negara tersebut sentiasa diberikan sejak sekian lama.

Must Watch Video

Advertisement