ALOR SETAR: Kedah FA dijangka melakukan rombakan besar-besaran terhadap kesebelasan utama bagi menentang Negeri Sembilan FC II dalam saingan Liga A1 Semi-Pro di Tampin, Ahad ini, susulan jadual padat pasukan itu.
Ketua jurulatihnya Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata lebih ramai pemain simpanan diturunkan bagi memastikan pemain utama mendapat rehat secukupnya untuk berhadapan Star City FC pada aksi timbal balik Piala FA Selasa depan.
Beliau berkata keputusan itu penting bagi menjaga tahap kecergasan pemain terutama selepas Kedah FA terikat 2-2 dengan Star City FC dalam aksi pertama di Stadium Darul Aman malam tadi.
“Sudah pasti kita mahukan kemenangan di Negeri Sembilan tetapi kita juga melihat pemain perlu direhatkan kerana dua hari selepas itu kita akan menentang Star City sekali lagi,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi.
Akmal Rizal berkata cabaran bukan hanya membabitkan tempoh pemulihan yang singkat tetapi perjalanan ke Tampin yang mengambil masa kira-kira lapan jam sebelum menempuh perjalanan sama untuk pulang.
Beliau berkata setiap pemain akan dinilai menerusi sesi pemulihan sebelum senarai pemain yang akan ke Negeri Sembilan ditentukan termasuk mengenal pasti pemain yang perlu direhatkan sepenuhnya.
Dalam pada itu, Akmal Rizal berkata tidak berhasrat melakukan perubahan besar terhadap corak permainan Kedah FA memandangkan sebahagian besar skuad dibentuk sejak musim lepas dan mempunyai persefahaman yang baik.
Beliau berkata pendekatan yang diterapkan juga masih mempunyai persamaan dengan corak permainan kendalian jurulatih terdahulu, namun beberapa elemen baharu disesuaikan bagi memastikan kemenangan pasukan.
-- BERNAMA