KUALA LUMPUR: Malaysia menamatkan cabaran acara 4x100 meter (m) lelaki di tempat kelima pada Kejohanan Olahraga Asia Bawah 20 Tahun (B-20) di Hong Kong semalam.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Olahraga Malaysia/ Malaysia Athletics, kuartet negara dibarisi Muhammad Sayyid Amin, Danish Irfan Tamrin, Muhammad Umaira Subri dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee mencatat masa 39.96 saat (s) bagi aksi akhir yang berlangsung di Kai Tak Youth Sports Ground.
Kuartet dari Korea Selatan memenangi emas dengan catatan 39.75s mengatasi Thailand yang memperoleh perak (39.83s) manakala gangsa milik Taiwan (39.86s).
Kejohanan yang bermula Khamis lepas berakhir semalam.
-- BERNAMA