Skip to main content

Sukan

Kontrak MotoGP Malaysia dilanjut lima tahun hingga 2031

SEPANG, 1 Julai -- Menteri Belia Dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari (kiri) bercakap pada sidang media mengenai Pembaharuan Kontrak MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.  Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif (kanan).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Belia Dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari (kiri) bercakap pada sidang media mengenai Pembaharuan Kontrak MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

SEPANG: Kontrak penganjuran Perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dilanjutkan lima tahun lagi hingga 2031, kata Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Beliau berkata kontrak baharu yang berkuat kuasa bermula tahun depan itu telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan Malaysia terus kekal sebagai antara hab utama sukan permotoran dunia.

Kontrak semasa penganjuran MotoGP Malaysia ialah dari 2024 hingga penghujung tahun ini.

"Pembaharuan ini bukan sekadar lanjutan kepada sebuah acara sukan antarabangsa tetapi merupakan keputusan strategik kerajaan bagi memastikan Malaysia terus kekal relevan dan berdaya saing sebagai hab sukan permotoran dunia," katanya kepada pemberita pada sidang media pengumuman itu di SIC hari ini.

Mohammed Taufiq berkata lanjutan kontrak tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan membangunkan ekosistem sukan permotoran negara, di samping menjana peluang ekonomi menerusi penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.

"MotoGP Malaysia merupakan aset dan pelaburan strategik negara yang memberi manfaat kepada sektor pelancongan, hospitaliti, pengangkutan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kajian impak ekonomi menunjukkan penganjurannya pada 2024 telah menjana kira-kira RM694 juta impak ekonomi keseluruhan, mewujudkan lebih 4,400 peluang pekerjaan serta menghasilkan pulangan pelaburan sekitar 6.3 kali ganda kepada negara," katanya.

Beliau berkata selain memberi impak positif kepada sektor pelancongan, penganjuran MotoGP Malaysia turut menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan, kepakaran teknikal dan penyertaan dalam industri sukan permotoran yang lebih meluas.

"Menerusi Malaysian Motorsport Development (MDEV), laluan pembangunan bakat yang lebih tersusun telah membuahkan hasil dengan kemunculan pelumba seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan yang semakin menyerlah di pentas antarabangsa," katanya.

MotoGP Malaysia mula dianjurkan pada 1991 di Litar Batu Tiga Shah Alam sebelum berpindah ke SIC pada 1999.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement