KUALA LUMPUR: Kuching City FC membawa pulang tiga mata selepas menundukkan Melaka FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Krubong, malam tadi.
Skuad pelawat membuka tirai jaringan menerusi Jerome Etame pada minit ke-27 selepas menerima hantaran Ramadhan Saifullah untuk mendahului 1-0 pada babak pertama.
Memasuki babak kedua, Kuching City terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Yuki Tanigawa dilayangkan kad merah pada minit ke-55 kerana menjatuhkan pemain tuan rumah di luar kotak penalti.
Kelebihan seorang pemain dimanfaatkan Melaka FC pada penghujung perlawanan apabila Do Donghyun menyempurnakan sepakan percuma pada masa kecederaan untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Bagaimanapun, ketika perlawanan dilihat menuju keputusan seri, Wanja Ronald Ngah muncul wira Kuching City apabila menjaringkan gol kemenangan selepas menewaskan penjaga gol Melaka FC Khairul Fahmi Che Mat sebelum wisel penamat dibunyikan.
Sementara itu, di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Star City dan Terengganu FC terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata selepas seri 1-1 dalam satu lagi aksi Liga Super malam tadi.
Kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan pada babak pertama sebelum tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi Douglas Oliviera pada minit ke-56.
Terengganu FC kemudian bangkit menyamakan kedudukan menerusi Romel Romales pada minit ke-77, sekali gus memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.
-- BERNAMA