Skip to main content

Sukan

Majoriti pemain KRW FC belum capai tahap Liga Super - Ketua Jurulatih

KOTA BHARU, 18 Jan - Ketua Jurulatih Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) yang baharu Irfan Bakti Abu Salim (kiri) pada Majlis Pengenalan Ketua Jurulatih pasukan itu di sebuah hotel hari ini. - fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Irfan Bakti mengakui, majoriti pemainnya masih belum mencapai tahap diperlukan untuk bersaing dalam Liga Super. - Gambar fail/ Bernama
Advertisement

KOTA BHARU: Ketua jurulatih Kelantan Red Warrior FC (KRW FC), Irfan Bakti Abu Salim mengakui, majoriti pemainnya masih belum mencapai tahap diperlukan untuk bersaing dalam Liga Super.

Beliau berkata, keadaan itu menjadi cabaran buat pasukannya untuk memberikan saingan kepada pasukan lain yang memiliki pemain tempatan dan import yang lebih berpengalaman.

“Bukan saya mahu merendahkan pemain saya sendiri, tetapi kemampuan pemain saya untuk bermain di Liga Super ini belum pada tahap yang sepatutnya namun, mereka tetap berusaha sehabis baik.

“Sebahagian besar pemain saya pertama kali beraksi di liga tertinggi, hanya beberapa pemain sahaja yang mempunyai pengalaman bermain di Liga Super,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

KRW FC tewas 1-3 kepada KL City dalam perlawanan itu, sekali gus kekalahan keempat berturut-turut sejak berjaya meningkat kepada Liga Super musim ini daripada Liga Semi-Pro sebelum ini.

Irfan Bakti berkata, kekurangan pengalaman bukan alasan untuk anak buahnya mengurangkan komitmen, sebaliknya mereka perlu memberikan 100 peratus usaha dalam setiap perlawanan.

“Ini bukan alasan. Jika kita memasuki Liga Super, kita perlu beri 100 peratus komitmen. Saya tidak boleh menyalahkan pemain yang saya ada ini,” katanya.

Mengulas kekalahan itu, beliau berkata, kelemahan taktikal terutama ketika berdepan bola tinggi dan situasi bola mati turut menyumbang kepada keputusan tersebut.

“Kami terlalu banyak memberi ruang kepada pasukan lawan, selain pemain kami kalah dalam pertarungan bola tinggi.

“Kekangan pendaftaran pemain menjadi penghalang utama untuk mengatasi kelemahan tersebut. Pihak pengurusan telah berusaha dengan pelbagai cara bagi menyelesaikan isu ini, namun belum menemui jalan penyelesaian yang memuaskan,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih KL City, Datuk Dollah Salleh memuji disiplin dan semangat pemainnya yang terus berjuang selepas ketinggalan satu gol.

Beliau berkata, kemenangan itu turut memberi keyakinan kepadanya terhadap kemampuan pemain simpanan yang diberikan peluang dalam perlawanan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement