MANCHESTER United mengalami satu lagi episod memalukan apabila tersingkir daripada saingan Piala Carabao selepas tewas 2-3 kepada Brighton & Hove Albion dalam aksi pusingan ketiga di Old Trafford awal pagi Khamis.
Skuad kendalian Michael Carrick bermula garang apabila mendahului 2-0 dalam tempoh 10 minit pertama menerusi jaringan Shea Lacey pada minit kelapan dan Mason Mount dua minit kemudian.
Bagaimanapun, Brighton mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk meranapkan harapan tuan rumah.
Charalampos Kostoulas merapatkan kedudukan pada penghujung babak pertama sebelum Pascal Gross menyamakan kedudukan pada minit ke-65.
Pasukan pelawat melengkapkan kebangkitan dramatik empat minit kemudian apabila Maxim De Cuyper menjaringkan gol kemenangan yang memastikan Brighton melangkah ke pusingan seterusnya.
Celebrating another win at Old Trafford... ✨ pic.twitter.com/euFZwPobCF
— Brighton & Hove Albion (@BHAFC) September 16, 2026
Kekalahan itu mencetuskan rasa tidak puas hati penyokong United yang melepaskan sorakan boo sebaik wisel penamat dibunyikan, ketika tekanan terhadap Carrick terus meningkat selepas permulaan musim yang tidak konsisten.
Menurut laporan, ia merupakan kali pertama dalam era Liga Perdana Inggeris apabila United tewas di laman sendiri dalam semua pertandingan selepas mendahului dengan kelebihan dua gol.
Michael Carrick gives his assessment of tonight's game 💬
— Manchester United (@ManUtd) September 16, 2026
Malah, kali terakhir mereka mengalami situasi serupa di Old Trafford adalah kira-kira 50 tahun lalu.
Keputusan itu juga menyaksikan United tersingkir daripada Piala Carabao pada peringkat terawal untuk musim kedua berturut-turut, sekali gus menambah lagi tekanan terhadap pasukan yang sedang bergelut mencari rentak kemenangan.
Sementara itu, Brighton meneruskan kemaraan ke pusingan keempat dengan penuh bergaya selepas mempamerkan semangat juang tinggi untuk membalikkan defisit dua gol di gelanggang keramat lawan.