GUADALAJARA: Mexico muncul pasukan pertama mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati Piala Dunia FIFA 2026 selepas menewaskan Korea Selatan 1-0 dalam aksi kedua Kumpulan A.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Javier Aguirre mengumpul enam mata maksimum daripada dua perlawanan, sekali gus mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Luis Romo pada minit ke-50 selepas memanfaatkan kesilapan komunikasi antara penjaga gol Korea Selatan, Kim Seung-gyu dan pertahanan Lee Gi-hyuk di dalam kotak penalti.
Korea Selatan bimbingan Hong Myung-bo cuba meningkatkan asakan bagi mencari gol penyamaan, namun pertahanan Mexico kental mengekalkan kelebihan hingga wisel penamat.
Kekalahan itu bagaimanapun tidak menjejaskan peluang Korea Selatan, yang kini berada di tangga kedua dengan tiga mata.
Dalam satu lagi perlawanan, Republik Czech dan Afrika Selatan terikat 1-1, menyebabkan kedua-duanya masing-masing mengumpul satu mata.
Korea Selatan dijadual menentang Afrika Selatan dalam aksi terakhir kumpulan di Monterrey, dengan keputusan seri sudah mencukupi untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya.